Tuesday 8 April 2014

JMM persoal pelantikan Mohd. Irwan

AZWANDDIN HAMZAH
KUALA LUMPUR 8 April - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menyambut baik langkah diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memperkasa ekonomi bumiputera melalui penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, penubuhan MaGIC adalah langkah proaktif untuk membantu usahawan muda berjaya dalam perniagaan, justeru ia perlu diterajui oleh individu yang mampu memberi dedikasi sepenuhnya kepada MaGIC agar objektif penubuhannya tercapai.
Sehubungan itu, JMM jelas beliau, mempersoal langkah kerajaan melantik Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah untuk menerajui MaGIC kerana berpendapat masih ramai pemimpin lain yang berkelayakan untuk dipilih.
"JMM tidak mempersoal kredibiliti Dr. Mohd. Irwan namun beliau sudah terlalu sibuk dengan jawatannya sekarang menyebabkan timbul kerisauan beliau tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada MaGIC.

"JMM risau jika visi dan perancangan yang begitu baik daripada Perdana Menteri ini akhirnya gagal mencapai matlamat 100 peratus kerana kemampuan terhad mereka yang diberi tanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Oktober lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MaGIC di Cyberjaya sebagai landasan pemudah cara yang lengkap untuk membantu usahawan tempatan mengembangkan operasi masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pusat sehenti itu khusus untuk syarikat tempatan yang terbabit dalam bidang multimedia kreatif, penyelidikan dan pembangunan, penyumberan luar serta pengurusan data.
Susulan penubuhan MaGIC, pada November lalu, beliau turut mengumumkan penubuhan Dana Perniagaan Sosial berjumlah RM20 juta yang akan diselia oleh MaGIC dan mana-mana pihak yang mahu menjayakan aktiviti memperkasakan sosial boleh memohon dana itu.
Sementara itu, Azwanddin berkata, golongan muda perlu merebut peluang itu untuk menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang teknologi maklumat.

No comments:

Post a Comment