Monday, 2 September 2013

Bekas anggota TUDM maut ketua Geng 36?


IPOH 2 Sept. - Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah di sini semalam, dipercayai salah seorang ketua kongsi gelap Geng 36 di Batu Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa, S. Jambu Keshan, 39, dipercayai dibunuh ahli kumpulan kongsi gelap lain kerana berebut kawasan pengedaran dadah.
"Kita lihat motif pembunuhan ini melibatkan urusan dadah. Mangsa yang mati adalah salah seorang ketua Geng 36 di Batu Gajah.
"Kita percaya mangsa dibunuh kerana perebutan kawasan pengedaran dadah di antara Geng 36, Geng 04 dan Geng 08," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak di antara Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan Datuk Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mohd. Shukri yang menjawat jawatan Ketua Polis Perak sejak Disember 2010 dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Selangor manakala Acryl Sani sebelum ini menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak Disember 2011.
Mengulas lanjut, Dzuraidi berkata, polis yakin dapat mengenal pasti kedua-dua suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Katanya, polis juga telah merakamkan dua percakapan daripada dua saksi di tempat kejadian yang boleh membantu pihak polis mengesan kedua-dua suspek berkenaan.
"Kita sudah meneliti rakaman CCTV. Wajah suspek tidak berapa jelas kerana memakai topeng ski dan seorang lagi berada di dalam kereta bercermin gelap tetapi itu sudah boleh membantu kita," ujarnya.
Menurut beliau, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Dalam kejadian pukul 7.15 pagi semalam, Jambu Keshan yang pernah berkhidmat dalam pasukan TUDM selama 19 tahun mati ditembak dalam jarak dekat dengan beberapa das tembakan sebaik sahaja keluar daripada kenderaan untuk mengeluarkan barang bagi dibawa ke sebuah restoran milik bapanya di Taman Rishah di sini.
Mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan oleh ahli keluarga ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

PETIKAN : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment