KUALA LUMPUR 2 Jun - Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr.
Mohd. Irwan Serigar Abdullah diminta menurunkan segera papan iklan
kartun mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana bentuk
penyampaian sedemikian didapati gagal memberi penjelasan berkesan kepada
rakyat.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata,
pada masa sama, Setiausaha Bahagian Analisa Cukai Perbendaharaan, Datuk
Siti Halimah Ismail juga perlu memberi penjelasan berhubung perbelanjaan
kos penerbitan iklan itu yang berjumlah puluhan juta ringgit sedangkan
medium tersebut langsung tidak praktikal.
"Kita meminta Irwan dan Siti Halimah menurunkan papan iklan kartun
dengan kadar segera, kerana saya yakin kartun pun gagal untuk
membacanya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut sebagai menyokong pendapat Ahli Majlis Tertinggi
UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mahu Mohd. Irwan Serigar dan Siti
Halimah mengambil tanggungjawab dengan bersara lebih awal jika benar
keputusan beliau menjadi punca kegagalan penyampaian berkesan kepada
rakyat mengenai GST.
Azwanddin berkata, JMM juga bersetuju jika kedua-dua mereka mengambil
keputusan itu dengan bersara lebih awal supaya tidak terus menjadi
beban kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.
Katanya, kehadiran mereka dalam kerajaan juga sebenarnya hanya banyak membantu pembangkang.
"Penggunaan papan iklan kartun di tepi jalan raya untuk GST adalah
satu perkara yang amat memalukan sebab orang ramai tidak sempat baca
kerana hurufnya yang sangat kecil membuatkan pembaca pening kepala
melainkan mereka perlu memberhentikan kenderaan terlebih dahulu untuk
membacanya.
"Apa yang cuba dilakukan itu boleh dikatakan syok sendiri tanpa melihat kepada kempen yang lebih praktikal," katanya.

No comments:
Post a Comment