Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai yang terkejut selepas mendapati syarikat itu menjalankan urusniaga tersebut menerusi kerjasama dengan sebuah bank tempatan, AmBank Holdings Berhad (AmBank) sejak hujung tahun lalu.
Katanya, siasatan selama tiga bulan ke atas syarikat insurans yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mendapati ia pernah menerima Anugerah ‘Best Places To Work for LGBT 2013’ melalui Kempen Hak Asasi Kemanusiaan 2013 seperti disiarkan dalam sebuah buletin.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu menunjukkan syarikat tersebut seperti mahu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini,’’ katanya dalam sidang akhbar mengenai penglibatan syarikat tersebut dalam jualan insurans takaful dan mempromosikan LGBT di Pejabat JMM di Me
nara Pandan Kapital, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, tindakan syarikat itu menawarkan perkhidmatan takaful tersebut jelas bertentangan dengan konsep yang berlandaskan syariah dan halal di sisi syarak malah JMM menyifatkan penjualan insurans itu sengaja untuk memperdaya umat Islam secara halus.
Katanya, kerajaan khususnya Bank Negara diminta mengambil tindakan segera menarik semula lesen berkaitan perbankan Islam atau Lesen Insurans Takaful yang ditawarkan kepada bank tempatan tersebut.
Tambah beliau, sebagai langkah awal JMM akan mengedarkan sejuta risalah bagi memboikot jualan insurans takaful bank tempatan itu di seluruh negara bermula minggu depan.
Sementara itu jurucakap AmBank ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab dan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut esok.