Friday 23 May 2014

Segera hadapkan 'pengkhianat' ke mahkamah

UTUSAN MALAYSIA,
KUALA LUMPUR 23 Mei - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengumumkan pembentukan Gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS) bagi membantu kerajaan memerangi penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan juta ringgit.
Gabungan NGO itu yang antaranya terdiri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah dan Orang Muda Banteras Korupsi (Ombak) mengambil langkah berkenaan kerana mahu isu tersebut ditangani segera bagi mengelakkan lebih banyak kerugian kepada negara.

Mereka sepakat menggerakkan kekuatan ahli masing-masing di seluruh negara sebagai sukarelawan dan menyalurkan bukti kepada pihak berkuasa untuk bersama-sama membanteras penyelewengan bahan bakar itu.

Jurucakap kumpulan tersebut, Ruslan Kassim berkata, GASS komited membantu kerajaan supaya lebih proaktif dalam menangani isu penyelewengan berkenaan yang berleluasa sehingga peruntukan subsidi tidak sampai kepada golongan sasar.
"Kita sudah mengumpul senarai lebih 80 NGO daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai gabungan ini supaya mereka dapat menggerakkan ahli masing-masing dalam memantau dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
"Satu mesyuarat akan diadakan bersama NGO-NGO terlibat pada minggu depan untuk membentangkan gerak kerja dan tindakan yang perlu diambil bagi memastikan komitmen GASS membantu kerajaan mencapai matlamatnya," katanya dalam sidang akhbar mengenai pembentukan gabungan itu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah; Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong dan Pengerusi Badan Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli.
Sementara itu, Ruslan berkata, GASS sangat kecewa dengan sikap sesetengah penjawat awam yang mendalangi kegiatan penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi seperti didedahkan akhbar ini baru-baru ini.
Sehubungan itu tegasnya, gabungan berkenaan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan dan mengemukakan hasil siasatan kepada Jabatan Peguam Negara agar mereka yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan itu dapat diheret ke muka pengadilan.
"Penjawat awam yang terlibat adalah pengkhianat negara kerana membantu sindiket-sindiket haram bermaharajalela," katanya yang juga merupakan Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan.
Sementara itu, Azwanddin berkata, SPRM dicadangkan meletak anggotanya di dalam semua agensi penguat kuasa untuk membuat pemantauan berhubung salah laku jika mereka bersubahat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
Dalam hal ini, katanya, suruhanjaya tersebut perlu bertindak secara lebih proaktif dalam menangani masalah berkenaan.
Lum Yong pula menyifatkan sudah tiba masanya kerajaan memikirkan dengan telus satu mekanisme dan formula bagi menghapuskan aktiviti tersebut secara lebih berkesan.
"Peruntukan subsidi adalah bagi membantu rakyat tetapi tidak sampai kepada golongan sasar dan disalahgunakan. Perkara tidak boleh dibiarkan berterusan," katanya.

No comments:

Post a Comment