Friday 27 June 2014

KAJI SEMULA MEKANISME SUBSIDI-UTUSAN MALAYSIA

Razlina Abdul Razak  (dua dari kiri) menunjukkan sebuah kereta mewah mengisi minyak subsidi Ron95 di sebuah stesen minyak di Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN 27 Jun - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) negeri ini mahu kerajaan mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi petrol RON95 yang ketika ini dinikmati secara sewenang-wenangnya oleh pemilik kenderaan mewah.
Ketua Pengarah JMM Pahang, Razlina Abdul Razak berkata, langkah itu perlu dilakukan segera bagi mengelak pemberian subsidi petrol terus tersasar apabila golongan berkemampuan turut menikmatinya.

"Perkara ini amat ketara dapat dilihat berdasarkan pemantauan JMM di seluruh negara. Jelas sekali pemberian subsidi ini telah tersasar.
"Maka kita harap kerajaan mengkaji semula perkara ini dengan menampilkan satu sistem yang dapat mengelakkan ketirisan subsidi ini daripada berterusan," katanya.
Beliau ditemui selepas mengetuai ahli JMM negeri mengadakan pemantauan selama tiga jam di sebuah stesen minyak di Jalan Besar di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pihaknya hari ini, didapati lebih 50 peratus pengguna petrol RON95 adalah terdiri daripada pemilik kereta berkapasiti enjin 2,000 cc dan ke atas.
Katanya, daripada angka ini menunjukkan peratusan besar pengguna petrol RON95 adalah mereka yang berkemampuan dan ini perlu dikekang bagi mengelakkan perbelanjaan kerajaan bagi subsidi bahan bakar terus meningkat.
"Apatah lagi kenderaan berkapasiti enjin besar menggunakan bahan bakar lebih banyak daripada kenderaan berkuasa kecil yang digunakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Ini jelas satu bentuk penyelewengan kerana subsidi yang tujuannya membantu golongan kurang berkemampuan turut dinikmati mereka yang berada hingga mengakibatkan kerugian hasil negara dalam jumlah besar setiap tahun," jelasnya.
Tambah Razlina, pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berkala di seluruh negeri dengan maklumat yang dikumpulkan ini akan diserahkan kepada JMM Pusat bagi tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment