Sunday 17 August 2014

JMM siasat 13 kes fotokopi ekspres

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan menjalankan siasatan dan pendakwaan di mahkamah terhadap 13 aduan berkaitan kes fotokopi ekspres yang diterima daripada syarikat swasta sejak perkara tersebut didedahkan beberapa minggu lalu.
Presidennya, Azwanddin Hamzah (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh aduan dikemukakan sendiri oleh syarikat atau individu yang hadir ke pejabatnya manakala selebihnya dihantar melalui emel.

Beliau berkata, syarikat-syarikat tersebut tidak berani untuk tampil ke hadapan kerana bimbang disenarai hitam oleh agensi kerajaan.
"Kita akan kumpul dan siasat setiap aduan serta bertemu dengan peguam untuk membincangkan cara bagi menyelesaikan masalah ini.

"Kita sudah mewujudkan unit siasatan yang turut melibatkan ‘orang dalam’ di pihak kerajaan untuk mendapatkan maklumat. Malah, kita juga akan mendedahkan kepada umum pihak yang didapati terlibat dengan kegiatan ini dalam masa terdekat nanti," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Azwanddin berkata, masalah fotokopi ekspres semakin berleluasa apabila terdapat syarikat swasta yang mengalami kerugian hampir RM30 juta di­sebabkan masalah itu.
Katanya, ada syarikat swasta terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi sehingga RM1 juta semata-mata untuk menyiapkan sesuatu kertas kerja itu.
"Ada syarikat swasta yang terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi apabila mereka terpaksa pergi ke luar negara untuk berjumpa dengan pengurusan syarikat luar serta melabur dalam sesuatu sistem untuk dibawa ke negara ini, tetapi selepas itu syarikat lain yang mendapat projek.
"Kadang-kadang terdapat penyelidikan yang dilakukan syarikat itu juga adalah permintaan dari agensi kerajaan sendiri, tetapi kemudiannya ditolak dengan mudah oleh mereka," jelasnya.
Azwanddin tidak menolak kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa atau rasuah dalam agensi kerajaan sehingga menyebabkan masalah tersebut semakin berleluasa.
"Saya tidak mahu tuduh pihak mana yang terlibat, tetapi mereka harus disedarkan terutama melibatkan individu yang berkuasa khususnya di bahagian kontrak," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar proses pendaftaran kertas kerja perlu dilakukan bagi memastikan semua syarikat yang menghantar kertas cadangan projek kepada kementerian atau jabatan didaftarkan.
"Syarikat yang berdaftar itu juga berhak untuk membawa kes ke mahkamah jika didapati mereka dianiaya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment