Friday 29 August 2014

Utamakan kertas cadangan swasta-Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pihak swasta yang menghantar kertas cadangan rasmi sebelum membuka tender terhad bagi program rasionalisasi subsidi bahan api.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, kerajaan perlu telus sebelum mengambil keputusan untuk membuka tender terhad bagi memastikan hak pihak swasta yang menghantar kertas cadangan rasmi untuk rundingan terus tidak dianiaya.
Malah, katanya, setiap cadangan projek sama ada dilakukan secara tender atau rundingan terus mempunyai kelebihan serta kekurangan tetapi perlulah dilakukan secara telus.

"Jika sesuatu syarikat itu menghantar kertas cadangan dari awal, maka lebih baik kerajaan terima cadangan mereka. Malah, jika sesuatu projek tersebut memerlukan tahap profesional serta teknologi tinggi, perkara tersebut juga tidak boleh dikeluarkan secara tender.
"Bagaimanapun, jika belum ada apa-apa lagi tindakan dalam projek itu, lebih baik dibuat secara tender. Bagaimanapun, kerajaan perlu telus dan mengutamakan pihak swasta yang sudah membuat pelaburan tinggi bagi menyiapkan kertas kerja sebelum membuka kepada tender," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Pengerusi Institut Tadbir Urus Korporat, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, tindakan membuka tender terhad bagi program rasionalisasi subsidi bahan api disifatkan sebagai tidak beretika kerana mengetepikan hak pihak swasta yang menghantar kertas cadangan rasmi untuk rundingan terus.
Beliau berkata, pembukaan tender bagi projek kerajaan itu dilihat akan mengetepikan hak intelek pihak swasta yang mengemukakan idea eksklusif untuk mengatasi ketirisan dan pembaziran subsidi bahan api.
Perkara tersebut susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebelum ini, apabila kerajaan memutuskan untuk melaksanakan tawaran secara tender terhad kepada syarikat yang berminat dan berkeupayaan melaksanakan sistem rasionalisasi subsidi petrol dan diesel.
Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, langkah kerajaan membuka tender terhad boleh dilakukan jika mereka sudah mengeluarkan sebarang spesifikasi berkaitan sesuatu projek tersebut.
"Jika kerajaan sudah mengeluarkan spesifikasi projek, maka kerajaan boleh mengeluarkan tender. Namun, jika pihak swasta pula yang mengeluarkan spesifikasi projek, maka proses tender sepatutnya ditolak," jelasnya.
Tambah beliau, langkah terbaik ialah memastikan syarikat yang menghantar kertas cadangan perlu mendaftar kertas tersebut bagi memastikan mereka mendapat perlindungan.

No comments:

Post a Comment