Monday, 2 March 2015

NGO sedia bantu laksana 7 amanat PM

Faizan Mohd Nor
KUALA LUMPUR 1 Mac - Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan komitmen untuk berganding bahu membantu kerajaan melaksanakan tujuh amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bangsa Melayu me­langkah maju pada abad ke-21.
Pengerusi Jari­ngan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berkata, amanat yang digariskan Perdana Menteri itu adalah amaran supaya mana-mana individu tidak mempertikaikan hak keistimewaan bangsa Melayu termasuk mempertikaikan institusi raja-raja Melayu.
“Termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini, maka tidak perlu dipertikaikan lagi. Walaupun amanat ini untuk bangsa Melayu ia tetap menitikberat tentang perpaduan sesama bangsa.
“JMM melihat amanat ini secara positif demi kemajuan bangsa Me­layu daripada sudut agama, ekonomi dan juga perpaduan antara satu sama lain kerana sejak kebelaka­ngan ada dalam kalangan kita sendiri bermusuhan,” katanya.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap amanat itu terutama dalam memperjuangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Menggariskan amanat agar bangsa Melayu mampu melangkah maju dengan berasaskan al-Quran melambangkan kemajuan umat Islam dan merupakan akar peradaban supaya kita lebih kuat.
“Bagaimanapun, perkara ini memerlukan individu yang betul-betul memahaminya kerana kita tidak mahu perkara ini sekadar retorik dan menjadi bahan kutukan oleh mana-mana individu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sempena Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam, Perdana Menteri menggariskan tujuh ama­nat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju pada abad ke-21 dan menjadi kuat, hebat serta bermaruah.
Antara amanat beliau ialah mahu orang Melayu dan umat Islam memperjuangkan ketinggian agama Islam serta syiarnya sebagai agama Persekutuan yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Mengulas mengenai warkah waad (janji) yang dilafazkan, Ismail Mina menjelaskan, perkara itu bererti kerajaan telah berjanji mempertahankan akidah Islam.
“Semua jentera kerajaan iaitu menteri-menteri mesti memahami maqasid syariah supaya pelaksa­na­annya berlandaskan prinsip Islam sebenar.
“Kita sedia turun padang untuk menjelaskan dan memperincikan perkara ini kepada mana-mana pihak dan mengembangkannya kepada masyarakat agar mereka lebih memahaminya,” katanya.

No comments:

Post a Comment