Faizan Mohd Nor |
Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor mempersoalkan, adakah portal tersebut ‘ditaja’ oleh pihak tertentu untuk sengaja menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kerajaan bagi mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap barisan kepemimpinan negara.
“Malaysiakini seolah-olah tidak takut atau bimbang dikenakan tindakan undang-undang apabila menyiarkan berita-berita yang jelas tidak sahih dan semata-mata untuk kelirukan rakyat mengenai kerajaan.
“Adakah portal berita itu ada menerima pembiayaan daripada mana-mana pihak yang berniat menggunakan medium media untuk jatuhkan kerajaan hari ini dan jika perkara itu didapati benar, mereka (Malaysiakini) sudah tersilap langkah,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan paling tegas terhadap Malaysiakini yang dilihat mampu menghancurkan perpaduan dan menanam sifat kebencian yang tebal dalam kalangan masyarakat menerusi penyiaran laporan palsu.
Mengulas lanjut, Faizan menyatakan portal berita tersebut seharusnya menjadi wadah maklumat yang benar dan jelas untuk masyarakat terutama dalam isu-isu semasa membabitkan pentadbiran kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Malaysia (MyWomen), Datuk Geethanjali G. mendakwa bahawa portal berita berkenaan sememangnya dilihat seakan-akan dijadikan alat untuk memburukkan kerajaan oleh pihak-pihak tertentu.
Katanya, dengan dana yang disalurkan oleh pihak tertentu, Malaysiakini seolah-olah diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan walaupun menyiarkan laporan tidak betul.
“Pasti ada dalang yang melindungi portal tersebut sehingga mereka berani untuk menulis berita yang tidak logik sumbernya. Tetapi sehingga kini, dalang itu masih belum diketahui dan sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
“Sampai bila ingin membiarkan portal tersebut menyiarkan laporan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat? Kita perlu bertindak sebelum keadaan menjadi semakin teruk,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment