Thursday, 10 April 2014

JMM Dakwa Ada Bukti Transaksi Dana Asing Untuk Suara Inisiatif


Presiden JMM,Azwanddin Hamzah(tengah) bersama Pengarah JMM sewaktu sidang media.Foto: Utusan Malaysia



Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM
 
PETALING JAYA: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pada Selasa mendakwa mempunyai bukti transaksi dana asing yang melibatkan Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suara Inisiatif), sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, dokumen itu menunjukkan transaksi dana antara Suara Inisiatif dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara.
“Saya menerima dokumen berkenaan pada pagi ini (Selasa). Selepas membuat penelitian awal, saya boleh katakan ia adalah 99 peratus betul.
“Selepas menelitinya secara terperinci di pihak JMM, saya akan bawanya kepada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) bagi membincangkan mengenainya,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa.
Azwanddin bagaimanapun enggan mendedahkan nama NGO tersebut, sumber maklumat dan nilai transaksi dana berkenaan.
“Itu saya tidak dapat dedahkan buat masa ini tetapi saya menerimanya daripada seseorang. Saya akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada SSM dalam sehari dua lagi sama ada ia boleh didedahkan secara terbuka atau tidak,” katanya.
Azwanddin pada 1 Julai lalu mendakwa Suaram bukan sebuah NGO tetapi mendapati ia merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama Suara Inisiatif berdasarkan semakan dokumen SSM.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri pada Isnin mengakui terdapat kaitan antara Suaram dan Suara Inisiatif dari segi transaksi dana berdasarkan hasil siasatan awal.
“Sebab itulah mereka (SSM) kena panggil kita. Bukan baru tunggu semalam (Isnin) untuk beri penjelasan. Kalau tidak mahu dedahkan secara terbuka kerana ia masih dalam siasatan, mereka sepatutnya berhubung terus dengan kita,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengharapkan supaya desakan dan gesaan oleh JMM tidak disalahertikan kerana ia bertujuan untuk membantu negara dan kerajaan.
“Apa yang kita buat adalah satu teguran dan meminta supaya semua agensi dan jabatan kerajaan bertindak dengan lebih proaktif dan memberi kerjasama dengan semua NGO di negara ini.
“Suara Inisiatif dikesan mendapat dana asing dari luar negara dan kita tidak tahu apa agenda mereka.
"Sebab itu kita dedahkannya supaya siasatan segera diadakan,” katanya lagi.
Berdasarkan hasil siasatan awal oleh SSM, Suara Inisiatif yang didaftarkan agensi itu di bawah Akta Syarikat 1965 didapati menyalurkan dana kepada Suaram, yang menunjukkan terdapat kaitan antara kedua-duanya.
Ismail Sabri berkata, beberapa kebarangkalian kesalahan dikesan tetapi belum dipastikan sama ada betul atau tidak kerana siasatan masih dijalankan.


No comments:

Post a Comment