Friday, 11 April 2014

Malaysiakini didesak jawab isu dana asing

KUALA LUMPUR 10 April - Malaysiakini didesak menjawab pendedahan yang dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beberapa tahun lalu bahawa operasi portal berita propembangkang dibiayai organisasi luar termasuk penyangak mata wang Yahudi, George Soros.
Pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim berkata, tindakan Malaysiakini yang terus berdiam diri berhubung tuduhan itu menimbulkan tanda tanya sama ada dana tersebut turut dikongsi dengan tentera siber pembangkang, Red Bean Army (RBA) untuk menjatuhkan kerajaan.
"Beberapa tahun lalu, pelbagai NGO membuat pendedahan mengenai dana asing yang diterima oleh Malaysiakini tetapi sampai sekarang Malaysiakini tidak jawab.

"Tolong jawab isu dana yang diterima oleh mereka itu sebelum hendak memburuk-burukkan kerajaan. Sekarang ini, rakyat tertanya-tanya adakan dana ini juga digunakan untuk membiayai RBA," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini, Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak, Hamdan Mohd. Salleh berkata, Malaysiakini dan RBA dilihat sebagai entiti yang berkongsi agenda dan fokus sama sebagai ejen penyebar propaganda menerusi bantuan dana pihak tertentu.
Beliau menyifatkan Malaysiakini yang dalam banyak perkara membuat laporan tidak bersandarkan fakta sebaliknya gemar bermain sentimen bagi memburuk-burukkan imej kerajaan tidak ubah seperti RBA.
Zamil berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu mengambil tindakan tegas terhadap Malaysiakini yang membuat laporan berat sebelah serta tidak bersandarkan fakta bagi menghentam kerajaan.
Katanya, Malaysiakini dan RBA tidak seharusnya dibiarkan dengan sewenang-wenangnya memainkan sentimen untuk menghakis imej kerajaan kerana jika dibiarkan, ia boleh menjadi barah dalam masyarakat.
"Jika dibiarkan tanpa tindakan, mereka akan `naik tocang' dan rakyat juga tertanya-tanya kenapa KDN seperti lepas tangan terhadap Malaysiakini yang membuat laporan berita tanpa mengikut etika kewartawanan.
"Banyak laporan berita Malaysiakini yang boleh dipertikaikan. KDN ada asas untuk memanggil pihak pengurusan portal propembangkang itu untuk memberikan penjelasan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment