KUALA LUMPUR 20 April - Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri 
(KDN) digesa segera merungkai misteri di sebalik insiden pencerobohan 
pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah pada Mac tahun lalu yang sehingga 
kini belum menemukan jawapannya.
Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin 
Hamzah berkata, langkah itu perlu bagi memastikan dalang serangan 
berdarah itu dibawa ke muka pengadilan.
"Kejadian itu sudah berlaku lebih setahun namun sehingga sekarang 
hasil siasatan terhadap peristiwa itu belum dibongkarkan, malah 
dalangnya juga belum didedahkan.
"Sehubungan itu kerajaan khususnya KDN perlu lebih proaktif dengan 
menjadikan hal ini sebagai perkara utama kerana rakyat masih menanti 
perkembangan isu berkenaan malah keluarga mangsa yang terkorban juga 
perlukan penjelasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
Kejadian pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 
Mac tahun lalu mengorbankan lapan anggota polis dan dua tentera selain 
mengakibatkan ratusan penduduk dipindahkan dan melibatkan kos pembiayaan
 operasi keselamatan yang tinggi.
Tambah Azwanddin, sekiranya isu itu tidak diselesaikan segera, 
dikhuatiri akan menjejaskan kepercayaan rakyat dan juga pelancong luar 
terhadap tahap keselamatan negara ini sama ada untuk dilawati atau 
didiami.
"KDN perlu melihat isu itu bukan sekadar retorik tetapi sebagai 
agenda utama dalam memberikan penjelasan kepada rakyat kerana kita tidak
 mahu dibelenggu dengan tanda tanya.
"Hal ini kerana peranan sekuriti boleh mengganggu-gugat sektor 
pelancongan negara kita dan rakyat juga akan diselubungi kebimbangan 
jika perkara ini tidak diselesaikan segera," katanya.
UTUSAN MALAYSIA,21HB APRIL 2014

No comments:
Post a Comment