Tuesday 15 April 2014

CEO CELCOM PERLU LETAK JAWATAN-AZWANDDIN HAMZAH

Peneraju Celcom Axiata Bhd. (Celcom) perlu mengambil tanggungjawab atas isu kualiti dan perkhidmatan syarikat itu yang berlarutan sejak sekian lama.
Dato' Sri Shazalli Ramly 
Sehubungan itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah menggesa peneraju Celcom meletakkan jawatan kerana disifatkan gagal mengurus operasi syarikat telekomunikasi itu dengan baik sehingga sering mendapat aduan daripada penggunanya.

Beliau berkata, mutu perkhidmatan yang ditunjukkan oleh Celcom secara tidak langsung mencemarkan imejnya sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).
“Suatu ketika dahulu, Celcom merupakan sebuah syarikat telekomunikasi paling unggul di negara ini namun mereka tidak mengambil kesempatan tersebut untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Perkara ini amat memalukan, lebih-lebih lagi Celcom membawa imej GLC dan oleh hal yang demikian, JMM menyarankan peneraju syarikat itu meletak jawatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kecaman yang diterima oleh Celcom ekoran aduan daripada beberapa pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj perkhidmatan syarikat itu yang disifatkan sebagai melampau dan tidak masuk akal.
Azwanddin berkata, perubahan ke atas peneraju Celcom perlu dibuat kerana isu kualiti dan perkhidmatan telah bertahun-tahun diperkatakan tetapi tiada jalan penyelesaian.
Menurut beliau, sudah tiba masanya peneraju Celcom diuruskan oleh mereka yang berkelayakan dan mempunyai pandangan jauh demi menjamin mutu perkhidmatan yang lebih baik agar setaraf dengan negara-negara maju.
“Buat apa duduk di peringkat tertinggi jika masalah seperti bil dan mutu perkhidmatan teruk tidak dapat diuruskan dengan baik? Takkan mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan kepuasan pengguna?
“Celcom diminta jangan melupakan asal usul mereka dan bagaimana dapat berkembang menjadi sebuah syarikat telekomunikasi yang kukuh ketika ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment