Monday, 14 April 2014

SUARAM SYARIKAT SWASTA , BUKAN SEBUAH NGO

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) perlu menjelaskan kedudukan sebenar pertubuhan itu kerana semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati ia merupakan syarikat swasta yang mempunyai pendapatan lebih RM900,000 pada tempoh 2009 dan 2010.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, menerusi semakan dokumen awam SSM, Suaram adalah sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama Suara Inisiatif Sdn. Bhd. dengan modal berbayar RM2 dan bukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, JMM difahamkan pemegang saham dan pengarah syarikat ini adalah Yeoh Seng Guan dan Kua Kia Soong dengan tarikh pelantikan kedua mereka sebagai pengarah adalah pada 7 Jun 2004.“JMM juga difahamkan bahawa jumlah pendapatan syarikat ini adalah RM497,137 pada tahun 2009 dan RM411,226 pada tahun 2010.“JMM mahu tahu sama ada pendapatan syarikat ini dari dalam atau luar serta apakah identiti penyumbang, motif serta niat sebenar mereka," katanya pada sidang akhbar.


Sehubungan itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa serta Naib Presiden PKR, Tian Chua diminta membuat pengesahan dan memberi penjelasan kepada umum mengenai sumber sebenar pendapatan syarikat itu.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihaknya turut mendapati Suaram tidak berdaftar di dalam Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai NGO.
Berdasarkan semakan lanjut kepada dokumen awam SSM, Suara Inisiatif adalah sebuah organisasi yang tidak bermotifkan keuntungan dengan aktiviti utamanya adalah menganjurkan kempen mengenai hak asasi kemanusiaan serta aktiviti-aktiviti berkaitan.
“Selama ini mereka cenderung kepada sesuatu pihak, saya tidak mahu tuduh tetapi mereka perlu perjelaskan sumber sebenar pendapatan mereka, lagipun mereka yang selama ini memperkatakan mengenai ketelusan.
“Mereka berlagak seperti sebuah NGO tetapi sebenarnya adalah sebuah syarikat swasta. Sumber pendapatan kira-kira RM900,000 itu adalah satu jumlah besar yang perlu diperjelaskan sama ada dari dalam atau luar negara," katanya.

PETIKAN UTUSAN MALAYSIA PADA  2 JULAI 2012

No comments:

Post a Comment