KUALA LUMPUR, 30 Jun:
Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat akhbar The Edge dan pemiliknya, Datuk Tong Kooi Ong di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap laporan palsu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiarkan dalam akhbar tersebut.
Ketua Pengarah JMM Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd Nor berkata, perkara tersebut perlu ditangani dengan tegas, kerana ia melibatkan kepentingan dan nama baik negara.
Menurutnya, fitnah yang dilakukan terhadap 1MDB sebelum ini terlalu teruk tanpa pembelaan sewajarnya dan penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo yang juga merupakan imuniti kepada kerajaan untuk membersihkan nama 1MDB.
“JMM meminta polis membuat sesuatu, tidak kira di bawah Akta Hasutan dan apa juga peruntukan undang-undang yang ada.
Faizan (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat, bagi menggesa siasatan ke atas The Edge dan pemiliknya.
“Malah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh menggunakan kuasa mereka untuk menyita bangunan akhbar berkenaan, sebagai tanda pengajaran kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap The Edge dan Tong yang menyiarkan laporan mengenai 1MDB daripada sumber maklumat palsu.
Tambah Faizan, The Edge sebagai sebuah akhbar di peringkat nasional, sepatutnya membuat pengesahan terlebih dahulu, sebelum menyiarkan sebarang maklumat berkaitan 1MDB.
Jelasnya, Tong seharusnya menapis maklumat yang diterima daripada Sarawak Report sebelum menyiarkannya, kerana 1MDB sedang disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara.
“Siasatan sedang berlangsung dan dia sepatutnya memainkan peranan mengesahkannya terlebih dahulu.
“The Edge sebagai akhbar perdana, seharusnya bertanggungjawab melaporkan berita sahih dan memainkan agenda nasional, tetapi ia tidak dilakukan,” tegasnya.