Monday 27 July 2015

TUN MAHATHIR HARUS BERSUMPAH - HAMDAN, KETUA SETIAUSAHA JMM


KUALA LUMPUR  – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad bersumpah dengan al-Quran bahawa beliau dan keluarganya tidak mempunyai aset di luar negara seperti yang didakwa sebelum ini.
Menurut Ketua Setiausaha JMM, Hamdan Mohd. Salleh (gambar), bekas Perdana Menteri itu wajar berbuat demikian bagi membersihkan namanya apabila perkara itu hangat diperkatakan dan ia dilihat sebagai satu fitnah semata-mata.
“Dr. Mahathir perlu bersumpah bahawa beliau dan keluarganya tidak pernah mempunyai sebarang perniagaan atau aset di luar negara seperti yang didakwa beliau dalam laman sosial sebelum ini,” katanya.
HAMDAN MS
Hamdan berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JMM di Pandan Indan di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JMM Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor dan Pengarah Kebangsaan JMM, Tahir Ali.
Dr. Mahathir turut didesak bersumpah dengan al-Quran bahawa beliau bukan ‘dalang sebenar’ yang berselin­dung di sebalik NGO Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab atau CAGM.
“Dr. Mahathir juga perlu bersumpah beliau bukanlah ‘dalang sebenar’ di sebalik CAGM yang dipengerusikan Md. Zainal Abidin untuk menawarkan RM1 juta kepada mana-mana pihak yang boleh mendedahkan hartanya,” ujarnya.
Sehubungan itu, ujar Hamdan, satu sidang akhbar khas harus dibuat oleh Dr. Mahathir berhubung desakan JMM tersebut demi membersihkan nama beliau dan ahli keluarga atas tuduhan-tuduhan dilemparkan itu.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersedia mendapatkan lokasi masjid bagi memudahkan Dr. Mahathir melakukan sumpah tersebut, sekali gus membersihkan nama beliau dan keluarga.
“Ini cara terbaik untuk Dr. Mahathir membersihkan nama meskipun beliau terus mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Sumpah itu boleh dibuat oleh beliau pada bila-bila masa,” katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment