Friday 21 August 2015

JMM minta beri masa 6 bulan kepada 15 peniaga di Kompleks Niaga Utama

UDA diminta tangguh pindah

JULAINIE MOHD. SALLEH (tengah) bersama sebahagian peniaga dan penyewa dalam sesi perbincangan berhubung arahan berpindah di Bangunan UDA Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta UDA Holdings Bhd. (UDA) memberi masa selama enam bulan kepada 15 peniaga di Kompleks Niaga Utama, Bangsar Utama di sini selepas mereka diarah berpindah dari kawasan yang akan dibangunkan dengan projek komersial itu.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, berkata, peniaga melahirkan rasa bimbang apabila gagal mendapatkan kata putus daripada UDA tentang tarikh sebenar perpindahan mereka dari kompleks berkenaan.
“Sebelum ini peniaga diberi notis harian mengenai pengosongan kedai daripada pihak UDA. Keadaan ini memberi tekanan kepada mereka.
“Lebih menyedihkan apabila lokasi yang dicadangkan iaitu di Kompleks Pertama dan Pudu Sentral tidak strategik dan terdapat beberapa peniaga mempunyai masalah dari segi permit yang tidak membenarkan menjalankan perniagaan di luar Bangsar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama UDA dan peniaga di kompleks berkenaan hari ini.Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi UDA, Julainie Mohd. Salleh.Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemua itu adalah berhubung pampasan setimpal kepada peniaga yang perlu memulakan semula perniagaan di tempat lain dan kadar istimewa bagi menyewa lot kedai yang akan dibangunkan nanti.

Hasil pertemuan tersebut, pihak UDA Holdings Bhd. menangguhkan pemberian notis pengosongan premis kepada peniaga di Kompleks Niaga Utama.
Sementara itu, Julainie berkata, pihaknya telah membuat keputusan untuk membangunkan kompleks tersebut sebagai pusat komersil bercampur yang mengandungi rumah kedai, kediaman dan pejabat.
“Projek itu akan menjadi pendapatan baharu UDA bagi membolehkan ia disalurkan semula menerusi projek-projek lain seluruh negara.
“Bagaimanapun, kita mengambil perhatian terhadap keluhan yang dibangkitkan dan pertemuan semula akan diadakan setelah perkara ini dibincangkan dan mendapatkan keputusan muktamad UDA,” katanya.

No comments:

Post a Comment