Friday 21 August 2015

Sita operasi Malaysiakini - JMM

Azwanddin Hamzah
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini mendesak pihak berkuasa menyita operasi Malaysiakini berikutan pelbagai fitnah yang dibuat portal berita propembangkang tersebut selama ini.
Azwanddin
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, laporan dalam Malaysiakini bersifat melampau sehingga boleh menggugat perpaduan rakyat.
Lebih-lebih lagi, kata Azwanddin, Malaysiakini sebelum ini pernah dikaitkan dengan penerimaan dana daripada penyangak mata wang Yahudi, George Soros.
Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan diambil terhadap Malaysiakini kerana dikhuatiri portal itu menerima ‘wang-wang hitam’ daripada pihak tidak bertanggungjawab dari dalam atau luar negara untuk memudaratkan negara.
“Pendedahan tentang sumber kewangan Malaysiakini sebelum ini pernah dilakukan beberapa pihak namun tiada tindakan dikenakan terhadap protal ini.
“Kenapa kita terus biarkan Malaysiakini membuat laporan bersifat fitnah sehingga mencetuskan kesan kepada perpaduan rakyat dan keamanan negara?” soalnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat Malaysiakini seperti mana tindakan yang diambil terhadap The Sarawak Report kerana dipercayai menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Beliau berkata, pihaknya telah mendapat bukti portal propembangkang itu banyak menyiarkan laporan yang diputar belit dan tidak sahih untuk diserahkan kepada SKMM bagi tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Azwanddin turut mendesak Malaysiakini mengisytiharkan sumber dana yang diperoleh portal berita propembangkang itu dalam menjalankan operasinya selama ini.
“Kita juga meminta Pendaftar Syarikat (ROC) untuk menyiasat dan bukan hanya Malaysiakini, tapi juga menyoal ahli lembaga pengarahnya dalam perkara ini,” kata beliau.
Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Aidid Ghazali memberitahu, dalam usaha pelbagai pihak menggesa pihak berkuasa bertindak membendung agenda Malaysiakini, masyarakat pada masa sama perlu mempunyai kesedaran untuk mengelakkan diri mereka daripada dibuai oleh dakyah portal berkenaan.
“Jangan telan bulat-bulat berita dari Malaysiakini nanti ada orang ambil kesempatan dalam kenaifan kita. Dalam menggesa pihak berkuasa, rakyat perlu ada nilai prinsip menilai kesahihan berita daripada portal,” katanya.

No comments:

Post a Comment