Thursday 1 October 2015

JMM desak polis siasat kenyataan Khalid Jaafar-SINAR HARIAN

Faizan (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat hari ini. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan mendesak polis menangkap dan menyiasat Ketua Kakitangan, Pejabat Menteri Besar Selangor, Khalid Jaafar berhubung kenyataannya yang dipercayai berbaur hasutan, menghasut dan memesongkan akidah umat Islam di Malaysia.
Ketua Pengarah JMM Wilayah Persekutuan,  Faizan Mohd Nor berkata,  kenyataan Khalid itu dipercayai dimuat turun dan disebarkan di media sosial sejak 2013.
“Kandungan dalam kenyataan itu amat mengelirukan, beliau (Khalid) dipercayai mendakwa ajaran Syiah dan Ayah Pin perlu diberi kebebasan untuk sesiapa mengamalkannya.
“Beliau juga dipercayai mencabar dan cuba memperlekehkan institusi undang-undang negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Beliau berkata, polis perlu menyiasat Khalid mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Kita membangkitkan isu ini kerana video ini telah tersebar, kita juga mahu Kementerian Komunikasi Dan Multimedia menyekat video tersebut.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid dipercayai cukup berbahaya terhadap keselamatan negara dan menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam di negara ini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam.
Katanya, Khalid juga dipercayai menghasut rakyat bahawa undang-undang sedia ada adalah bertentangan dengan kehendak liberal rakyat Malaysia tidak seperti di Amerika Syarikat yang memberi kebebasan beragama mengikut fahaman yang disukai dan dikehendaki.
“Tindakan Khalid itu dipercayai cuba mempertikaikan undang-undang sedia ada adalah tidak betul dan tidak adil, mengetepikan hak rakyat untuk memilih fahaman masing-masing,” katanya.
Video berdurasi 2.43 itu dipercayai dirakam dalam sebuah forum di ibu kota pada 12 September 2013.

No comments:

Post a Comment