Friday 9 May 2014

Pegawai kanan RHSM didakwa salah guna kuasa-UTUSAN MALAYSIA


KUALA LUMPUR 8 Mei – Bayaran kepada kontraktor yang sepatutnya hanya dua peratus tetapi dibuat sehingga 57 peratus merupakan antara salah guna kuasa yang didakwa dilakukan pegawai kanan syarikat milik kerajaan (GLC), Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM) Sdn. Bhd.
     Pendedahan tersebut yang dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) turut mendapati wujud transaksi berjumlah RM70,000 yang telah dibayar atas arahan individu tertentu kepada satu pihak untuk projek menghasilakan video korporat RHSM namun, sehingga hari ini video berkenaan belum dihasilkan.
     Presiden JMM, Azwanddin Hamzah mendakwa, salah laku berkenaan merupakan antara yang tersenarai dalam dokumen setebal 400 muka surat yang diserahkan pihaknya kepada Pengerusi Rangkaian Hotel Seri Malaysia (RHSM), Datuk Seri Dr. Shafie Mohd . Salleh untuk meminta siasatan dalaman dijalankan.
     Menurut beliau, JMM memberi tempoh dua minggu kepada RHSM untuk menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan terhadap dua individu yang dipercayai menjadi dalang utama dan jika gagal, perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
     ‘’Satu lagi kes yang dalam rujukan kami adalah surat pelanggan Hotel Seri Malaysia yang menunjukkan ada individu memainkan peranan membabitkan pelantikan sebuah agensi berhubung kontrak berkaitan maka wujud penyalahgunaan kuasa di situ.
     ‘’RHSM adalah GLC di bawah Kementerian Kewangan justeru ia melibatkan kepentingan awam, jadi JMM menyerahkan semua dokumen ini yang antaranya adalah memo, tandatangan dan invois membabitkan salah laku tersebut, ‘’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
     Terdahulu, Azwanddin bersama Setiausaha Agungnya, Hamdan Mohd. Salleh hadir di pejabat RHSM di sini untuk menyerahkan memorandum dan dokumen berkenaan Shafie agar tindakan segera dapat diambil.
     Azwanddin bagaimanapun enggan mendedahkan nama dua individu berkenaan dan jumlah sebenar wang yang didakwa diselewengkan kerana mahu melihat terlebih dahulu langkah yang akan dilakukan RHSM terhadap dakwaan itu.
     Mengulas lanjut, katanya, kesemua dokumen tersebut diterima daripada orang awam yang membuat aduan di Pusat Aduan Rasuah JMM yang telah dibuka di Pandan Indah dan pihaknya telah melakukan kajian terhadapnya sebelum diserahkan kepada RHSM.
     Sementara itu, Shafie ketika ditemui menyambut baik kehadiran wakil JMM dan berjanji akan membawa perkara tersebut ke dalam mesyuarat pengurusan dan ahli lembaga pengarah RHSM selepas ini.
     Sementara itu, Shafie ketika ditemui menyambut baik kehadiran wakil JMM dan berjanji akan membawa perkara tersebut ke dalam  mesyuarat pengurusan dan ahli lembaga pengarah RHSM selepas ini.
     ‘’ Saya bukan pengerusi eksekutif dan apa yang boleh dilakukan adalah mengemukakan dokumen ini kepada jawatankuasa audit syarikat untuk diteliti serta ke dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah.
     ‘’Dakwaan ini baru diberitahu kepada saya oleh itu saya harap semua pihak dan JMM memberi masa untuk kami menyiasatnya secara dalaman malah dalam laporan audit juga ia tidak dinyatakan,’’ jelas beliau.


No comments:

Post a Comment