Sunday 22 June 2014

Jangan pilih bulu - JMM

KUALA LUMPUR 21 Jun - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa melaksanakan sistem baharu berkenaan pembayaran cukai pendapatan yang telus tanpa mengira status sama ada orang biasa atau hartawan.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah (gambar) berkata, pihak­nya menerima aduan da­ripada orang ramai ber­kaitan LHDN yang ber­sikap ‘memilih bulu’ dalam memberikan pengurangan denda atau pe­nalti pembayaran cukai pendapatan.
Menurut beliau, pihaknya ada menerima laporan berhubung perkara ini sejak dua tahun lalu terutama melibatkan individu yang menjalankan perniagaan besar.
"Peniaga ini sengaja tidak mahu membuat bayaran cukai pendapatan berikutan mengetahui bahawa LHDN mudah memberikan diskaun dan mereka perlu membayar dalam jumlah yang minimum sahaja. Sebagai contoh, jika jumlah yang perlu dibayar RM100 juta, tetapi jika mereka bayar secara ‘gelap’ mereka hanya perlu membayar RM100,000.

"Berbanding pula dengan orang biasa, LHDN akan mengejar setiap seorang bagi memastikan tiada sesiapa yang terlepas daripada membuat pembayaran," katanya kepada Mingguan Malaysia.
Akhbar ini dalam ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat pada 15 Jun lalu mempersoalkan tindakan LHDN yang lebih tunjuk ta­ring kepada pembayar cukai individu berbanding hartawan dan syarikat besar.
Dalam pada itu, jelas Azwanddin, mana-mana kakitangan atau pegawai tinggi LHDN tidak sepatutnya memberikan diskaun bagi setiap penalti yang dikenakan kepada syarikat korporat besar.
"Syarikat tersebut memiliki wang yang banyak tetapi bertindak melarikan diri tidak membayar cukai mengikut jumlah yang sepatutnya, malah menggunakan wang tersebut untuk berbelanja lebih besar lagi.
"Kita mencadangkan agar penglibatan agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukan pemantauan supaya proses pembayaran cukai pendapatan ini dilakukan secara telus dan sistematik," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan UMNO, Azlan Abdullah berkata, terdapat undang-undang sedia ada yang memperuntukkan pengarah atau pegawai untuk menyediakan laporan kewangan namun tidak dikuatkuasakan.
"Sekiranya dikuatkuasakan dan semua laporan syarikat-syarikat tersebut dikemaskini, LHDN akan dapat mengira cukai tertunggak dengan mudah," katanya.

No comments:

Post a Comment