MELAKA 20 Jun - Satu mekanisme baharu perlu diwujudkan bagi memantau
penggunaan petrol RON95 sekali gus memastikan golongan berpendapatan
rendah dan sederhana terus menikmati subsidi bahan api tersebut.
Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) negeri, Hamzah Abdul
Wahab berkata, mekanisme itu perlu bagi memberi jaminan petrol RON95
tidak digunakan oleh golongan mewah sebaliknya menepati golongan
sasaran.
"Selain itu, JMM Melaka turut mencadangkan supaya kenderaan dari
negara jiran khususnya Singapura dan Thailand dilarang sama sekali
daripada menggunakan petrol RON95," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan
penggunaan subsidi petrol di sebuah stesen minyak di Lebuh Alor
Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Cheng di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JMM Melaka, Faisal Mohd. Nor.
Mengulas lanjut pemantauan dijalankan di stesen minyak bermula pukul 8
pagi hingga 11 pagi itu kata Hamzah, usaha tersebut adalah tindakan
susulan kaji selidik bagi kegunaan petrol RON95.
"Pemantauan dilakukan untuk mengumpul data serta merekodkan jumlah
kenderaan mewah yang mengisi kenderaan mereka dengan RON95 di stesen
minyak tersebut," ujarnya.
Hasil pemantauan selama tiga jam itu katanya, pasukan JMM Melaka
merekodkan sebanyak 80 kenderaan menggunakan RON95 dan 60 peratus
daripadanya merupakan kenderaan mewah.
"Pemantauan ini menunjukkan bahawa sasaran pihak kerajaan agar
subsidi bahan api tersebut digunakan oleh golongan berpendapatan rendah
sudah tersasar sebaliknya ia dimanfaatkan oleh golongan yang
berpendapatan tinggi.
"Pihak JMM akan terus melaksanakan pemantauan di seluruh negara dari
semasa ke semasa bagi melihat perkembangan yang dilaksanakan kerajaan
dalam usaha membendung perkara ini seterusnya membantu kumpulan sasar
mendapat hak mereka," jelasnya.
No comments:
Post a Comment