Monday, 9 June 2014

JMM fail saman ke atas Cadbury-SINAR HARIAN

Azwanddin (kiri) menyampaikan sijil watikah perlantikan pengarah JMM Perak yang baru ditubuhkan sebulan lalu pada majlis ramah mesra bersama ahli JMM Perak di Malim Nawar

MALIM NAWAR – KAMPAR. Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bersama 50 peguam akan memfailkan saman ke atas syarikat Cadbury berhubung kontroversi  produk mereka tercemar DNA babi Khamis ini.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, tindakan saman itu bagi menuntut kerugian dan penipuan yang dilakukan syarikat tersebut kepada pengguna Islam.

Menurutnya, JMM masih berpegang kepada hasil kajian pertama Kementerian Kesihatan yang mengesahkan dua coklat Cadbury iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mempunyai DNA babi.

“Pendirian kita mudah sahaja, Kementerian Kesihatan mereka mempunyai makmal khusus untuk menjalankan kajian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak.

“Malah Jakim sebelum ini mengakui kemungkinan ada pencemaran DNA babi seperti yang dinyatakan Kementerian Kesihatan sebelum ini dan perkara ini yang diragukan oleh JMM termasuk pengguna di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada 24 Mei lalu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mengesan porcine atau DNA babi dalam produk coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Susulan itu, Jakim menarik serta- merta sijil halalnya.

Cadbury turut menarik kedua-dua produk milik syarikatnya di kesemua premis yang menjual coklat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir pada Selasa lepas mengesahkan bahawa analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua sampel produk coklat tersebut yang diambil terus dari kilangnya di Shah Alam tidak mengandungi DNA babi.

Rabu lalu, Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan kenyataan mengakui melakukan kesilapan berhubung pengumuman penemuan DNA babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury termasuk tidak memaklumkan kepada Jakim terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kesilapan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal.

Azwanddin menambah, pihaknya mendesak Jakim segera memberi penjelasan berhubung punca pencemaran coklat berkenaan bagi menjawab segala persoalan dan keraguan umat Islam mengenai perkara tersebut.

“Rakyat masih lagi ragu walaupun Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan mengakui kesilapan, namun itu prosedur sahaja tetapi kita mengutamakan keputusan laporan asal tersebut.

“Jika benar ada pencemaran, rakyat harus tahu bagaimana perkara itu berlaku. Penjelasan ini penting agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap Jakim malah perkara ini tidak dijadikan ‘perkara utama’ dalam penjelasan berhubung status halal produk Cadbury,” katanya.

No comments:

Post a Comment