Saturday, 14 June 2014

JMM Perak kesal tindakan guna nama Sultan Perak- ( Utusan Malaysia )


KAMPAR 13 Jun - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengguna nama Sultan Perak bagi mengambil alih beberapa kawasan lombong di sekitar daerah ini.
Ketua Pengarahnya, Hamdan Mohd. Salleh berkata, tindakan demi kepentingan peribadi itu merupakan usaha golongan tersebut memperdayakan penduduk terutamanya nelayan darat di daerah itu.
"Kami difahamkan tanah lombong ini adalah hak milik Tuanku Sultan. Jika ini benar, kami mahu tahu Tuanku Sultan yang mana satu?
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, tanah yang didakwa milik Tuanku Sultan ini telah dioperasikan oleh sebuah syarikat.
"Jika benar tanah yang didakwa adalah milik Tuanku Sultan, tanah itu perlu ditandakan dengan papan tanda dan bukan hanya sekadar cakap, apatah lagi pemilik lombong dalam kalangan bukan bumiputera," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, di sini hari ini.
Menurutnya, langkah memagar lombong oleh pemilik juga telah menyebabkan seramai kira-kira 200 nelayan darat terjejas sekali gus menutup punca rezeki golongan tersebut.
Katanya, walaupun kerajaan negeri telah merancang dan mengenal pasti tiga buah lombong lain untuk diberikan kepada nelayan darat, langkah itu tidak memadai kerana proses pembenihan ikan memakan masa lama.
"Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan, kami bimbang kejadian tidak diingini akan berlaku dalam kalangan nelayan darat.
"Selain itu, kita juga merasakan tidak perlu papan tanda berunsur tembak dipasang dan ditukar kepada papan tanda yang menyatakan pemilik sebenar tanah lombong berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Kampar harus bersikap adil dalam pemberian tanah lombong dan tidak memihak kepada kaum tertentu untuk diberi kelulusan.

No comments:

Post a Comment