Thursday 21 August 2014

Guna blog serang pembida projek -UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR  21 Ogos - Beberapa syarikat dikesan menggunakan modus operandi baharu bagi menyerang pesaing mereka dalam usaha merebut projek-projek kerajaan dengan cara mengupah penulis blog melakukan 'pengintipan ekonomi' di laman-laman web.
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya mendapat maklumat itu daripada beberapa ahli perniagaan yang menjadi mangsa fotokopi ekspres.



"Pendedahan mereka bahawa telah wujud suatu modus operandi baharu iaitu penggunaan laman web atau penulis blog untuk melakukan pengintipan ekonomi terhadap syarikat saingan mereka.

"Mereka ini akan membiayai pemilik blog atau laman web untuk menyerang syarikat-syarikat saingan lebih-lebih lagi apabila syarikat itu sedang membida untuk projek kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu fotokopi ekspres mula menjadi perhatian ekoran desakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi supaya amalan tersebut yang berleluasa terutama dalam jabatan kerajaan ketika ini dihentikan segera dan dibanteras habis-habisan.
JMM sebelum ini juga turut menerima aduan daripada syarikat yang menjadi mangsa fotokopi ekspres menegaskan akan menjalankan siasatan dan pendakwaan di mahkamah berkaitan aduan yang diterima mereka.
Azwanddin berkata, laman-laman web tersebut akan turut melakukan 'pembunuhan karektor' terhadap personaliti yang terlibat dalam projek-projek tertentu bagi pihak syarikat yang mengupah mereka.
"Mereka (penulis blog) juga lazimnya mendapat kerjasama dari 'orang dalam' (penjawat awam) untuk memberi maklumat teknikal mengenai projek tersebut. Serangan akan dibuat atas alasan ketelusan, keadilan dan kepentingan rakyat," katanya.

Katanya, tidak dinafikan penjawat awam yang terlibat menerima bayaran yang lumayan bagi urusan menyalurkan dan mendedahkan maklumat sulit berhubung kertas kerja yang dikemukakan sesebuah syarikat untuk membida projek kerajaan kepada pesaing mereka.

No comments:

Post a Comment