Monday 25 August 2014

MISC pinggir pelaut bumiputera?

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Malaysia International Shipping Corporation (MISC) didakwa masih gagal memberi keutamaan kepada golongan bumiputera untuk memegang jawatan tinggi di dalam syarikat milik kerajaan (GLC) itu.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, sehingga kini, MISC masih tidak membuka peluang kepada golongan pelaut bumiputera apabila terdapat ruang untuk kenaikan pangkat.


Menurut beliau, warga asing dari Filipina, Bangladesh dan India lebih diutamakan di dalam MISC sedangkan golongan bumiputera serta Melayu dianaktirikan.
"Saya sendiri telah berkomunikasi dengan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Datuk Nasaruddin Md. Idris melalui telefon dan beliau telah berjanji untuk menyelesaikan masalah di MISC seperti pendedahan saya sebelum ini.
"Namun sehingga kini, jawatan tinggi di dalam MISC masih dikuasai oleh bukan bumiputera dan berlaku diskriminasi dalam pentadbiran khususnya ketika kenaikan pangkat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azwanddin pernah membangkitkan isu serupa pada 12 April lalu dan beliau mendakwa, MISC telah tersasar daripada agenda utama penubuhannya kerana tidak lagi berperanan meningkatkan ekonomi orang Melayu serta bumiputera.
Beliau menambah, JMM juga kesal kerana Akademi Laut Malaysia (Alam) yang di bawah jagaan MISC masih dimonopoli oleh bukan bumiputera termasuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Katanya, JMM menerima maklumat bahawa perkara itu telah beberapa kali diketengahkan oleh pensyarah-pensyarah Melayu di Alam, namun tidak dipedulikan.
"Nasaruddin hanya memberi janji palsu setelah perbincangan melalui telefon dengan saya serta janji-janji beliau kepada saya untuk menyelesaikan masalah ini.
"Saya percaya beliau hanya melihat kepada kepentingan diri sahaja dan sengaja membelakangkan anak Melayu yang berkelayakan serta mempunyai kelulusan dalam bidang perkapalan," katanya.
Azwanddin memberitahu, kesusahan dan keperitan pelaut Melayu yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mengikuti kursus di peringkat sijil hanya dipandang ringan serta langsung tiada tindakan bagi membantu mereka.
"Suara pelaut ini tidak didengar di dalam MISC dan pertemuan tertutup saya dengan pelaut telah banyak memberi maklumat terkini yang berlaku di dalam MISC," katanya.
Sehubungan itu, Azwanddin mendakwa, sikap angkuh Nasaruddin yang memandang sinis terhadap pelaut Melayu merupakan faktor utama beliau tidak layak menerajui MISC.

No comments:

Post a Comment