Saturday, 20 September 2014

Apa sebenarnya status kes Azmin?-JMM

Kuala Lumpur-28 Ogos 2014.UTUSAN MALAYSIA: Jabatan Peguam Negara didesak menjelaskan apa sebenarnya status kes kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd. Salleh berkata, dakwaan Azmin itu adalah sesuatu yang serius tetapi adalah pelik mengapa tiada sebarang tindakan daripada Jabatan Peguam Negara.
"Azmin menuduh Perdana Menteri bertindak sedemikian untuk memuaskan nafsu politiknya. Ini tuduhan yang sangat serius tapi mengapa sehingga kini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membisu dan tidak membuka mulut tentang perkara ini.

"Abdul Gani perlu memberi penjelasan segera agar tidak dilihat melakukan pendakwaan terpilih. Polis juga dituntut berbuat demikian kerana laporan polis terhadap Azmin sudah dibuat pada 25 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azmin melemparkan tuduhan itu kepada Najib semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 7 Mac lalu sebagai tindak balas terhadap hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar selepas didapati bersalah meliwat.
Dalam pada itu, Hamdan menambah, kegagalan Jabatan Peguam Negara untuk bertindak tegas ke atas pemimpin pembangkang biar pun mereka melemparkan pelbagai kenyataan fitnah telah menyebabkan rakyat melabelkan jabatan penting itu sebagai memilih bulu.
Katanya lagi, Abdul Gani serta Jabatan Peguam Negara tidak ada banyak pilihan kerana satu-satunya jalan untuk mengembalikan semula integriti jabatan itu ialah dengan memberi penjelasan dan kemudian disusuli dengan tindakan tegas secara segera.

 

No comments:

Post a Comment