Thursday, 18 September 2014

Bangkit, usah terus lalai - JMM

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Orang Melayu diseru bangkit dan tidak terus lalai dalam memastikan Tanah Rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12 peratus tidak lenyap ditelan arus pemodenan yang begitu pesat.
Azwanddin Hamzah
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, 12 peratus adalah angka yang sangat membimbangkan selain perlu pandang secara serius dalam memastikan hak orang Melayu terus terjamin.
Menurutnya, angka itu menunjukkan amanah yang ditinggalkan oleh Raja-Raja Melayu terdahulu ternyata tidak dipegang utuh dan sebaliknya tanah milik orang Melayu 'hilang'.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Kita perlu segera memikirkan jalan penyelesaian untuk mengembalikan semula tanah rizab Melayu dan mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus tanah berstatus demikian di negara ini.
"Sesetengah pihak tidak jujur dan gemar 'berjalan dari pintu belakang' dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah kaum Melayu sendiri. Kita harus mempertahankan amanah dan wasiat yang telah ditinggalkan oleh Raja-Raja Melayu, bukannya sekadar memegang janji itu sebagai satu yang sia-sia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan kajian pada 2009 mendapati keluasan Tanah Rizab Melayu hanya tinggal kira-kira 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka.

Tambah Azwanddin, pembangunan yang pesat bukanlah punca kepada masalah berkenaan dan pihak berkenaan seharusnya berfikir serta merancang jalan keluar dalam mempertahan Tanah Rizab Melayu.
"Kita tidak harus memandang pembangunan sebagai alasan untuk terus dipijak tetapi jadikan kemajuan itu satu tonggak untuk Melayu terus bangkit dan mempertahankan apa yang telah menjadi hak kita selama ini.
"Enakmen sedia ada harus diperbaiki dalam memastikan ketelusan dalam mengendali urusan jual beli tanah kerana tidak mustahil, dalam masa yang singkat kita akan terus hilang tanah yang seharusnya menjadi milik kita," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Ishak berkata, enakmen Tanah Rizab Melayu perlu dipertahankan kerana ia adalah tunjang kepada wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan pada 5 Ogos 1957.
Menurutnya, Akta Pengambilan Tanah 1960 serta Kanun Tanah Negara 1965 perlu dipinda dengan melakukan penambahbaikan bagi memastikan Tanah Rizab Melayu tidak terus lenyap dan menjadi sejarah.
"Hasil kajian berkenaan tidak menggemparkan tetapi lebih kepada satu berita malang dan mendukacitakan kerana jika tidak dibendung serta ditegah dari sekarang, orang Melayu bukan saja bakal kehilangan Tanah Rizab Melayu malah dikhuatiri akan hanya bermastautin sebagai penumpang di atas tanah yang asalnya milik kita.
"Sekalipun hasil kajian menunjukkan keluasannya berbaki 12 peratus, ini tidak bermakna jumlah Tanah Rizab Melayu tidak boleh berkurangan disebabkan kerakusan pembangunan yang hanya menguntungkan pihak pemaju," katanya.

No comments:

Post a Comment