Sunday 7 September 2014

Presiden JMM, tagih jawapan CEO MISC -MINGGUAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia International Shipping Corporation (MISC), Datuk Nasaruddin Md. Idris didakwa tidak mendukung aspirasi kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan pelaut bumiputera.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya telah dua kali menggesa beliau menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelaut bumiputera termasuk menghubunginya melalui telefon, bagaimanapun semua yang dijanjikan hanya tinggal janji.
Datuk Nasaruddin Md. Idris
Sehubungan itu, tegasnya, JMM bersama 12,000 pelaut akan terus memberi tekanan kepada Nasaruddin sehingga pihak MISC memberi kata putus dalam isu berkaitan pelaut bumiputera syarikat itu antaranya melibatkan peluang memegang jawatan tinggi dan kenaikan pangkat.

"Tindakan Nasaruddin amat mengecewakan orang Melayu, beliau diletakkan di MISC untuk turut sama menjaga kepentingan orang Melayu tetapi akhirnya gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
"Saya pernah bercakap dengannya secara peribadi melalui telefon lima bulan lalu, ketika itu beliau berjanji untuk melihat perkara ini. Tetapi sehingga hari ini tiada satu pun kenyataan daripada pihak MISC menjawab pendedahan saya," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
JMM sebelum ini mendesak MISC dan Nasaruddin menyelesaikan isu berkaitan pelaut bumiputera yang didakwa tidak diberi peluang memegang jawatan tinggi di dalam GLC itu, malah ruang kenaikan pangkat juga seolah-olah tertutup untuk orang Melayu sebaliknya diberikan kepada warga asing dari Filipina, Bangladesh dan India selain masyarakat Cina dan India tempatan.
Azwanddin berkata, MISC juga didakwa menggunakan peruntukan syarikat tersebut bagi menampung perbelanjaan peperiksaan ramai pekerja asing untuk kenaikan pangkat yang melibatkan kos antara RM10,000 dan RM15,000 seorang.
Bagaimanapun beliau mendakwa, Nasaruddin tidak pernah mengeluarkan peruntukan tersebut untuk pelaut tempatan, malah ada dalam kalangan pelaut bumiputera terpaksa membelanjakan wang sendiri bagi menduduki peperiksaan kenaikan pangkat.
"Situasi yang dipaparkan oleh beliau sejak memegang jawatan dalam MISC memperlihatkan orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tinggi bagi membolehkan mereka mendapat gaji lumayan.
"Nasaruddin telah mengamalkan diskriminasi dalam kalangan kakitangannya. Jika pendedahan saya ini tidak benar, CEO itu perlu muncul segera bagi menafikan perkara tersebut," katanya.

1 comment: