KUALA LUMPUR 26 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan
menggempur habis-habisan kegiatan perjudian haram di seluruh negara dalam usaha
menghapuskan jenayah itu sehingga ke akarumbi.Utusan Malaysia difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar sendiri telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis
Negeri untuk melancarkan ‘peperangan’ terhadap pengusaha mesin judi yang
dianggap oleh satu sumber sebagai satu tindakan drastik oleh pasukan berkenaan.
Melalui arahan tersebut, Khalid memberi tempoh seminggu
kepada semua Ketua Polis Negeri menyelesaikan isu mesin judi.
“Jika gagal berbuat demikian, pegawai terlibat akan
ditukarkan dalam tempoh 24 jam,” kata satu sumber di sini, hari ini.
Awang Selamat dalam ruangannya hari ini meminta Khalid bertindak
tegas terhadap premis judi haram di seluruh negara yang sehingga kini belum
nampak penyelesaiannya.
Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
termasuk Jaringan Melayu Malaysia (JMM) turut mendesak polis bertindak tegas
bagi menangani isu tersebut dan mengheret mereka yang terlibat ke muka
pengadilan.
Dalam pada itu, satu sumber lain mendedahkan, undang-undang
berkaitan perjudian iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dianggap sudah ‘lapuk’
dan menjadi antara tiga faktor utama kegiatan judi haram di seluruh negara
sukar dibanteras sekali gus seolah-olah kebal.
Dua lagi faktor adalah kelewatan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web perjudian dan kos menjalankan
operasi mesin judi yang murah.
Menurut sumber, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 hanya lebih
berkesan terhadap kegiatan judi konvensional dan bukannya perjudian secara atas
talian yang berleluasa di premis-premis judi ketika ini walaupun telah
dilakukan pindaan.
“Akta tersebut mempunyai kelemahan khususnya dalam soal
pendakwaan yang mana pihak berkuasa perlu membuktikan semasa tangkapan
seseorang itu betul-betul sedang bermain judi dan sedang akses dengan laman web
judi tersebut. Sedangkan pihak berkuasa telah ‘diteropong‘ oleh tonto hingga
sukar menembusi premis terbabit.
“Pendakwaan terhadap pengusaha judi di bawah akta berkenaan
juga sukar dilakukan ekoran tiada bahan bukti seperti peralatan judi (daun
terup, wang pertaruhan, cip) selain golongan pengusaha menggunakan pihak ketiga
untuk menyewa premis dan menggunakan warga asing sebagai penjaga premis.
“Ekoran tersebut, tauke-tauke judi ini boleh membuka kembali
premis walaupun telah diserbu beberapa kali dan kalau pun didenda maksimum
hanya RM10,000 bagi setiap mesin sedangkan keuntungan diperoleh adalah berlipat
kali ganda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengenai kelewatan SKMM, sumber itu berkata, pada bulan lalu
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan 53 laman web perjudian yang
digunakan secara berleluasa di premis-premis judi haram kepada suruhanjaya
tersebut untuk disekat namun masih sehingga kini belum diambil sebarang
tindakan.
“Hanya SKMM yang mempunyai kuasa menyekat laman-laman web
itu kerana mereka sahaja yang mengawal perkara tersebut,” ujarnya sambil
memberitahu, ia berbeza dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat
utiliti lain kerana telah memberi kerjasama baik terhadap usaha membanteras
kegiatan perjudian.
Tambah sumber itu, faktor yang turut ‘menghantui’ pihak
berkuasa adalah kos rendah menyediakan premis judi iaitu antara RM400 dan RM500
bagi seunit komputer dari China namun boleh meraih keuntungan ribuan ringgit
dalam tempoh satu malam, membuatkan tauke judi haram tidak serik membuka premis
walaupun sudah beberapa kali diserbu.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi
Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee
Chik ketika dihubungi berkata, pihaknya telah melakukan secara purata antara
240 ke 260 serbuan setiap hari terhadap premis judi di seluruh negara sejak
awal tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 40 ke 50 peratus serbuan sahaja
berjaya dan selebihnya gagal disebabkan beberapa faktor seperti operasi telah
dihidu oleh tonto.
No comments:
Post a Comment