Wednesday, 14 January 2015

JMM Desak Zahid Hamidi Jelas Petahan Paul Phua-UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung penglibatan Paul Wei Seng Phua (Paul Phua), individu yang ditahan di Amerika Syarikat dalam projek membabitkan keselamatan negara.
Paul Phua
Presidennya, Azwanddin Hamzah menegaskan, adalah tidak masuk akal dan amat berbahaya bagi kerajaan menggunakan khidmat Paul Phua, yang jelas mempunyai hubungan kongsi gelap antarabangsa seperti mana yang disahkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
“Pihak JMM melihat tindakan Ahmad Zahid itu seolah-olah memperlekehkan FBI kerana jika perkara itu tidak benar dan merupakan tuduhan, maka Ahmad Zahid sepatutnya menasihatkan Paul Phua untuk menyaman FBI.
“Bukannya bertindak mempertahankan Paul Phua melalui surat yang didakwa ditulis oleh beliau (Ahmad Zahid) kepada FBI,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Azwanddin, berpandukan penyiasatan terperinci pihak FBI, Paul Phua mempunyai rangkaian perjudian haram secara besar-besaran sewaktu Piala Dunia yang lalu dan ada hubungan dengan kumpulan 14K, sebuah kongsi gelap yang bermarkas di Hong Kong.
Zahid Hamidi
“Rakyat serta JMM ingin mendapatkan penjelasan sebenar apakah hubungan Ahmad Zahid dengan Paul Phua, seolah-olah mempertahankan seorang `tauke judi’ yang terlibat dengan perjudian haram antarabangsa,’’ katanya.
Tambahnya, tindakan Ahmad Zahid menimbulkan tanda tanya kepada JMM dan rakyat kerana sejak akhir ini, JMM telah bersungguh-sungguh menentang dan mendedahkan kegiatan slot mesin judi haram yang berlambak di negara ini.
Baru-baru ini, sepucuk surat rasmi yang didakwa ditulis oleh Ahmad Zahid kepada FBI disebarkan melalui laman sosial dan blog.Dalam surat itu, beliau menjelaskan bahawa Paul Phua bukan anggota kumpulan jenayah berorganisasi 14K atau mempunyai sebarang hubung kait dengan kongsi gelap antarabangsa tersebut.Ahmad Zahid turut mempertahankan Paul Phua sebagai individu yang banyak membantu kerajaan Malaysia dalam projek membabitkan keselamatan negara, selain berharap supaya dia boleh pulang ke tanah air.Kumpulan 14K merupakan sebuah kongsi gelap yang bermarkas di Hong Kong tetapi mempunyai pengaruh di negara-negara Asia.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah
Paul Phua ditahan di Amerika Syarikat dan berdepan tuduhan terlibat dalam judi haram besar-besaran ketika musim Piala Dunia di Brazil tahun lalu.Dia dan anaknya dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat di sebuah hotel pada Julai lalu dan kemudian diletakkan dalam tahanan rumah di Las Vegas.

"JMM melalui semua cawangan JMM Negeri telah juga berusaha bagi pemantauan premis judi mesin slot di seluruh negara.Rakyat dan JMM hendak tahu apakah hubungan Zahid Hamidi dengan Paul Phua dan adalah KDN dan PDRM bergantung kepada Paul Phua?"

No comments:

Post a Comment