Thursday, 5 February 2015

JMM buat laporan polis terhadap CEO The Star

Ketua Pengarah JMM Wilayah,Faizan Mohd Nor (tiga dari kiri) ketika sidang media selepas laporan polis dibuat.
KUALA LUMPUR 5 Feb. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan dan Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai atas dakwaan menerbitkan artikel berbaur fitnah, hasutan dan mengelirukan berhubung projek Datum Jelatek.
Ketua Pengarah JMM Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berkata, laporan di Balai Polis Dang Wangi itu dibuat berhubung tulisan Chun Wai yang menggambarkan bahawa orang Melayu adalah rasis, bodoh, miskin dan bersifat prejudis menerusi artikel bertajuk ‘Deep concern for all’ yang diterbitkan pada 1 Februari lalu.
“Sebagai sebuah akhbar arus perdana yang menyokong aspirasi nasional, The Star seharusnya mendukung polisi pemerintah dan menjadi lidah dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada semua kaum di negara ini.
“Mereka tidak seharusnya menerbitkan artikel yang boleh mendatangkan kekeliruan dan kemarahan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada 25 Januari lalu, kira-kira 1,000 orang berkumpul di tapak projek Datum Jelatek di Taman Keramat bagi membantah tindakan kerajaan negeri Selangor membenarkan projek mega tersebut diteruskan.
Dalam bantahan itu, berlaku kekecohan apabila penduduk turut memecahkan dinding penghalang tapak projek kerana tidak berpusa hati dengan pemaju yang enggan menghentikan pembangunan tersebut.
Sementara itu, Faizan turut mempertikaikan pengurusan tertinggi akhbar tersebut yang seolah-olah tidak sensitif terhadap isu perkauman di negara ini.
“Siapa sebenarnya Chun Wai dan apakah motif beliau menerbitkan artikel tersebut yang jelas berdasarkan maklumat daripada portal dan akhbar pro pembangkang?,” ujarnya.
Sehubungan itu, JMM Wilayah Persekutuan dan Selangor menggesa pihak pengurusan tertinggi The Star untuk memecat Chun Wai.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment