Monday, 16 February 2015

Buktikan pihak berkuasa tidak bersubahat

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa pihak berkuasa konsisten dalam melancarkan operasi membanteras kegiatan judi haram dan bukannya secara bermusim.
Presidennya, Azwanddin Ham­zah berkata, langkah itu dapat me­ngelakkan pihak berkuasa dituduh bersubahat dengan tauke judi yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina Khamis ini.
Beliau mendakwa, cawangan-cawangan JMM di seluruh negara telah menerima aduan daripada orang ramai tentang premis-premis perjudian haram yang kembali beroperasi.
“Apakah ini merupakan episod wayang yang pernah kita ketahui sebelum ini bahawa penutupan premis mesin judi di seluruh negara adalah bersifat sementara sahaja?
Azwanddin Hamzah
“Seolah-olah perkara ini tidak pernah dapat diatasi. Malah, pen­dedahan demi pendedahan oleh JMM kepada pihak berkuasa tentang ‘jerung besar’ da­lam kegiatan judi haram juga seolah-olah tidak disusuli dengan penyiasatan rapi,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.
Mingguan Malaysia Ahad lalu mendedahkan tentang kegiatan judi haram yang kembali beroperasi di Ne­geri Sembilan dan Melaka walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus aktif menjalankan serbuan bagi membanteras perbuatan itu.
Semalam, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, kegiatan itu kembali berleluasa dipercayai akibat perlindungan pihak tertentu sehingga menjadikan pengusaha seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.
Azwanddin menambah, JMM khuatir integriti pihak berkuasa akan tercalar sekiranya kegiatan tersebut tidak dibendung dengan sempurna lebih-lebih lagi apabila timbul dakwaan tentang kewujudan ‘ta­ngan ghaib’ di sebalik ke­munculan semula pre­mis-premis perjudian ha­ram.

Beliau mendakwa, hasil pemantauan JMM di seluruh negara sejak September lalu mendapati pengusaha premis perjudian haram terba­bit tidak didakwa di mahkamah.
“Kenapakah mereka begitu berani menyambung semula operasi? Apakah mereka mempunyai kaitan dengan pihak berkuasa,” katanya.
Azwanddin berkata, pihak berkuasa juga perlu memberi penjelasan tentang isu berkenaan termasuk status pelaksanaan arahan pertukaran pegawai yang gagal membanteras kegiatan judi haram dalam kawasan di bawah tanggungjawabnya.

No comments:

Post a Comment