Friday, 27 March 2015

Kembalikan Akta Kediaman Terhad Bantu polis tangani kegiatan mesin judi haram-UTUSAN MALAYSIA


TERMIZI CHE ANUAR  |  27 Mac 2015 1:00 AM






KUALA LUMPUR 26 Mac - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa kerajaan agar mengembalikan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1959 yang dimansuhkan pada tahun 2011 bagi memberikan ‘kuku’ kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangani kegiatan mesin judi haram di negara ini dengan lebih berkesan.





 Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, biarpun PDRM menunjukkan kesungguhan membanteras kegiatan tersebut sejak enam bulan kebelakangan ini namun ketiadaan undang-undang yang berkesan menyebabkan kegiatan haram itu sukar dihapuskan.
 Tegas beliau, hasil pertemuan dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat hari ini jelas menunjukkan PDRM tidak mempunyai kuasa secukupnya dalam menangkap dan seterusnya mendakwa dalang-dalang kegiatan mesin judi terbabit.
 “Contohnya di Selangor sahaja polis berjaya menutup 2,293 premis judi online haram dalam tempoh enam bulan tetapi pemilik premis berkenaan akan terlepas begitu sahaja kerana tiada undang-undang yang membolehkan mereka didakwa di mahkamah.

 “Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melakukan sesuatu agar mengembalikan kedua-dua akta berkenaan yang dilihat mampu membantu PDRM menghapuskan kegiatan mesin judi haram secara berkesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Samah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.
 Sejak enam bulan lalu, JMM dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain banyak mendedahkan isu-isu berkaitan mesin judi haram dan membuat pelbagai laporan polis dalam usaha membanteras kegiatan tersebut daripada terus menular.
Hasilnya, kegiatan tersebut dilihat semakin lumpuh dan hanya segelintir sahaja pengusaha mesin judi itu yang sanggup mengubah modus operandi dengan menjadikan kediaman serta pejabat sebagai lokasi pilihan.
Terdahulu, dalam pertemuan selama dua jam dengan Abdul Samah itu, Azwanddin memberitahu, JMM berterima kasih dengan Ketua Polis Negeri itu kerana sudi mengadakan pertemuan dengan pihaknya dan pada masa sama berkongsi statistik berkaitan menghapuskan judi online haram di negeri itu.
Tambah beliau, kesungguhan serta komitmen polis dalam membanteras kegiatan tersebut jelas terlihat apabila Ketua Polis Selangor itu menelefon JMM untuk bertemu dan berbincang tentang isu tersebut.



No comments:

Post a Comment