Sunday, 15 March 2015

Operasi mesin judi haram masih berleluasa walaupun pelbagai tindakan diambil-JMM

UTUSAN MALAYSIA , KUANTAN 15 Mac – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan berhubung kegiatan mesin judi haram yang sehingga kini masih berleluasa meskipun pelbagai tindakan diambil bagi menangani aktiviti berkenaan.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terus-menerus menerima aduan daripada orang mengenai premis mesin judi yang masih beroperasi di seluruh negara.

“Sudah tiga bulan kami menjalankan siasatan berhubung kegiatan perjudian haram di negara ini dan hari ini kita bergerak di seluruh negara bagi membuat laporan polis kerana aktiviti ini masih berlaku.
  “Kita mahukan penjelasan daripada kementerian dan meminta polis memandang serius terutama aduan orang ramai tentang kegiatan haram ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.Yang turut hadir, Timbalan Presiden JMM, Omar Saleh.








 Azwanddin berkata, isu kegiatan perjudian haram di negara ini seharusnya segera dibendung kerana kegiatan mengenai jenayah tersebut banyak dilaporkan di media.
Katanya, sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak tegas dengan menyiasat dan menangkap pengusaha yang terlibat dengan kegiatan tersebut.

“JMM akan bergerak di seluruh negara bagi mengedarkan poskad berhubung kempen hapuskan jenayah slot mesin judi. Poskad ini akan diisi oleh orang ramai dan akan dihantar terus ke KDN.
“Untuk setiap negeri, sebanyak 5,000 poskad akan diedarkan dan kita berharap orang ramai memberi kerjasama terhadap kempen ini,” katanya.Mengenai kegiatan perjudian haram di negeri ini, beliau berkata, di daerah ini sahaja terdapat kira-kira 70 mesin judi haram yang masih beroperasi.

No comments:

Post a Comment