SINAR HARIAN, KUANTAN - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa masih menerima aduan daripada orang ramai berhubung
kegiatan mesin judi di daerah ini khususnya sekitar Jalan Wong Ah Jang.
Maklumat diterima melalui e-mal dan panggilan telefon
berhubung aktiviti itu kepada pejabatnya yang memaklumkan bahawa kegiatan itu
masih beroperasi di negeri ini.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, aduan bukan hanya
diterima di Pahang sahaja, sebaliknya melibatkan seluruh negara.
Menurutnya, JMM mengadakan Kempen Hapuskan Jenayah Mesin Judi sejak tiga bulan lalu di seluruh
negara dan sepanjang tempoh itu, agak memeranjatkan apabila orang ramai masih
mengadu aktiviti haram ini masih beroperasi.
“Justeru kita minta penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
menjelaskan mengapa kegiatan itu terus berlaku sedangkan operasi besar-besaran
menggempur jenayah itu dilakukan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat
laporan polis di Balai Polis Kuantan berhubung perkara itu, semalam.
Azwanddin berkata, laporan polis akan dibuat ke seluruh
negara bermula dengan Pahang diikuti Johor sebelum ke negeri-negeri lain.
“Kita minta pihak polis supaya mengambil tindakan lebih
tegas terhadap kegiatan itu dan membanterasnya habis-habisan.
“Sekarang ini penyangak mesin judi mengambil kesempatan
menjalankan operasi pada waktu-waktu tertentu bagi mengelak dikesan pihak
berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, sempena kempen hapuskan jenayah mesin judi itu, pihaknya akan mengedar 5,000
poskad khas di setiap negeri.
“Poskad maklum balas itu boleh diisi orang ramai dengan
mengisi maklumat peribadi dan menanda ruangan yang disediakan sebagai pendirian
terhadap kempen ini.
“Poskad yang lengkap diisi boleh dihantar terus ke
Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Menurutnya, setakat ini 2,000 poskad kempen hapuskan mesin
judi sudah diagihkan di Pahang.
No comments:
Post a Comment