Thursday, 10 March 2016

Polis, SPRM digesa bertindak Kegiatan perjudian makin aktif di Pulau Pinang

PULAU PINANG 4 Mac - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melipat-gandakan usaha menyiasat aktiviti perjudian di negeri ini yang disifatkan semakin berleluasa.
Sambil melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan itu, Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya difahamkan ketika ini terdapat lebih 150 pusat perjudian yang beroperasi di sebalik pusat hiburan keluarga di seluruh negeri ini.
AZWANDDIN HAMZAH (tengah) keluar dari IPK Pulau Pinang selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Negeri di Pulau Pinang, semalam. UTUSAN/SAZALI CHE DIN 

Lebih membimbangkan, jelas beliau, pihaknya juga difahamkan terdapat hampir 200 lagi permohonan baharu yang diterima untuk membuka pusat hiburan berkenaan.
“Jumlah pusat hiburan yang sedang beroperasi itu pun sudah terlalu banyak jika dibandingkan dengan kepadatan penduduk di negeri ini.
“Jadi, kita menggesa pihak berkuasa khususnya PDRM dan SPRM meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti perjudian ini yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab bagi membincangkan mengenai isu aktiviti perjudian itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Menurut Azwanddin, pihaknya bimbang sekiranya aktiviti perjudian itu dilindungi pihak tertentu khususnya individu di dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran lesen operasinya.
Sehubungan itu, beliau menggesa PDRM dan SPRM supaya turut melakukan siasatan di peringkat PBT bagi memastikan aktiviti perjudian yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga tersebut dapat dibanteras sepenuhnya.
Ditanya sama ada pihaknya turut cuba mendapatkan penjelasan Kerajaan DAP Pulau Pinang dan PBT mengenai isu itu, Azwanddin berkata, usaha tersebut sudah dilakukan sebelum ini, namun tiada maklum balas diterima daripada pihak berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, JMM juga akan terus melakukan pemantauan mengenai aktiviti perjudian itu di seluruh negara dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis serta SPRM supaya dapat ditangani sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment