Thursday 10 March 2016

Semua negeri termasuk kerajaan Persekutuan wajar contohi Melaka

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Semua kerajaan negeri sama ada mempunyai sistem beraja atau tidak wajar mencontohi langkah Melaka memperkenalkan enakmen khas dalam usa­ha mengekang tindakan individu tertentu mengaku sebagai seorang sultan dan mahu menuntut takhta kerajaan.
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, kelemahan aspek perundangan menyebabkan individu-individu tidak bertanggungjawab berani mendakwa diri sebagai sultan atau kerabat diraja sehingga timbul kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Saya menggesa semua kerajaan negeri segera mewujudkan enakmen khas seperti yang akan dibentuk oleh Melaka. Hal ini kerana jika gejala tersebut dibiarkan dibimbangi akan memberi kesan kepada fakta sejarah dan keamanan negara.
Azwanddin Hamzah

“Dengan adanya undang-undang, individu yang tidak bertanggungjawab tersebut boleh dihadapkan ke muka pengadilan. Saya juga cadangkan mereka dikenakan tindakan undang-undang yang paling berat kerana cuba untuk memporak-perandakan negara,” jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Melaka baru-baru ini yang ingin membentangkan usul enakmen khas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron ber­kata, enakmen tersebut akan melindungi pihak kerajaan negeri dan boleh diaplikasikan untuk mengambil tindakan-tindakan serta mengenakan hukuman yang lebih keras kepada mereka yang menuntut sebagai waris Sultan Melaka dan segala yang berkaitan dengannya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin berharap, pihak istana di setiap negeri dapat menjalankan sesi penerangan kepada orang ramai tentang salasilah seseorang sultan atau raja bagi mengelakkan kekeliruan jika terdapat pihak lain mengaku sebagai pewaris takhta kerajaan.
Katanya lagi, apa yang dilakukan oleh Melaka adalah sesuatu yang harus diikuti bukan sahaja oleh negeri-negeri lain malahan pihak berkuasa di peringkat Persekutuan demi mengukuhkan sistem raja berperlembagaan negara.
“Jika semua negeri termasuk kerajaan Persekutuan mewujudkan sebuah undang-undang khas saya rasa masalah seperti ini tidak akan berulang kembali.
“Selain itu, saya sangat berharap pihak istana dapat membuat sesi penerangan kepada orang awam bagi memperjelaskan kepada mereka tentang asal usul raja dan sistem pemilihan seseorang pemerintah negeri,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment