Thursday, 10 March 2016

Utamakan didikan awal Sebelum tindakan naikkan kompaun trafik diambi

Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran untuk melaksanakan program pendidikan awal yang berkesan kepada pengguna jalan raya sebelum mencadangkan kenaikan kompaun trafik yang mendapat tentangan banyak pihak.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, pengguna perlu diberi pendidikan awal serta tempoh masa untuk menerima pembaharuan sistem undang-undang yang akan diguna pakai untuk jangka masa panjang.
Katanya, agensi yang ingin menaikkan kompaun perlu mengadakan program pendidikan, antaranya khidmat pesanan masyarakat (PSA) dalam tempoh dua tahun untuk mendidik golongan ini lebih bersedia seperti negara-negara luar yang turut menggunakan program sama.
“Negara kita sedang menuju Wawasan 2020 yang dikatakan negara maju jadi tidak salah untuk tubuhkan program PSA untuk mendahulukan masyarakat agar lebih bersedia dengan setiap pembaharuan yang dilakukan.
“Jangan menjadi seperti Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pa­da 2010, yang dilaksanakan dahulu tanpa pendidikan awal kepada pengguna mengenai kesan dan kebaikan sistem tersebut dan akhirnya jumlah saman meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, PDRM me­ne­gaskan akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan kompaun trafik dan kadar ba­haru itu yang dijangka mula dikuatkuasakan pada penghujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment