Wednesday, 22 June 2016

Pusat judi semakin bertambah, Pihak berkuasa perlu buat pemantauan berterusan- UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 22 Jun - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa jumlah pusat judi di sesetengah kawasan terus meningkat di sebalik pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengekang kegiatan itu.
Sehubungan itu Presiden JMM, Azwanddin Hamzah menggesa polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan le­bih serius bukannya bermusim atau apabila menerima laporan sahaja.
Lebih teruk lagi dedahnya, premis-premis judi juga telah menjadi sarang untuk kegiatan ponteng puasa pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Katanya, sambil bermain me­sin judi slot, ‘kaki-kaki judi’ diberikan makanan serta minuman secara percuma.
Azwanddin Hamzah
“Yang lebih membimbangkan ialah premis-premis judi ini wujud di kawasan yang majoritinya pendu­duk Melayu. Per­­kembangan ini amat me­risaukan.
“Contohnya di Perak, jika dulu ada satu premis judi di satu-satu kawasan, kini sudah ada empat di kawasan serupa. Sebab itu kami gesa pihak berkuasa termasuk polis, PBT dan jabatan agama Islam supaya melakukan pemantauan secara berkala, bukannya bermusim untuk menangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengenai serangan sekumpulan anak muda terhadap beberapa pusat judi yang menjadi viral di laman sosial Facebook, Azwanddin mengingatkan pihak berkuasa sekiranya tiada tindakan segera diambil terhadap premis judi, lebih banyak kejadian seumpamanya boleh berulang.
Beliau yang juga bimbang de­ngan perkembangan itu memberitahu, kejadian ter­sebut sebenarnya memba­hayakan kerana penduduk setempat be­rani mengambil tindakan sendiri terhadap premis judi.
“Telah wujud ge­rak­an mahu menutup premis judi ini secara bersendirian, tanpa menerusi pihak berkuasa. Ini sekali gus telah merosakkan imej pihak berkuasa, khususnya polis dan juga PBT,” jelas beliau.
Dalam pada itu, menurut Azwanddin, pihaknya menerusi Jawatankuasa Bertindak Memerangi Mesin Judi Slot akan mendedahkan statistik terkini bilangan premis judi di seluruh negara dalam masa terdekat.
“Kita terima banyak maklumat menerusi jawatankuasa bertindak ini dan apa yang saya boleh katakan ialah jumlah premis judi semakin bertambah berbanding sebelum ini.
“Semua negeri menunjukkan peningkatan terutamanya Perak, Negeri Sembilan dan Johor,” ujar beliau.

GESA MUHYIDDIN AMBIL TINDAKAN -SINAR HARIA EDISI PERAK

Ipoh 20 Jun – Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengambil tindakan saman ke atas pihak yang didakwa melemparkan fitnah ke atasnya baru-baru ini.
Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, Muhyiddin sepatutnya mengambil tindakan segera dengan memfailkan saman fitnah dan bukan sekada menafikan perkara itu.
“Sebelum ini beliau (Muhyiddin) dilihat cukup lantang dalam membawa pelbagai isu.  Namun, kali ini kita dan pertubuhanbukan kerajaan (NGO) lain melihat beliau hanya membuat penjelasan di media sahaja.



“Jika tindakan saman tidak diambil, ia seolah-olah dilihat seperti beliau melakukan kesalahan itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Edaran Bubur Lambuk Perdana 2016 di Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) Perak di sini, semalam.
Beliau berkata, sebelum ini Muhyiddin belum pernah dikaitkan sebarang skandal seperti didakwa pihak tertentu.
“Sehubungan itu, kita menggesa supaya beliau segera mengambil tindakan saman ke atas pihak berkenaan bagi membuktikan bahawa beliau tidak bersalah,” katanya.

MUHYIDDIN YASSIN PERLU AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR  20 Jun – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menggesa supaya bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mendakwa beliau terlibat dengan skandal hubungan sulit.
Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu perlu berbuat demikian demi membersihkan nama, imej dan kredibiliti beliau.
 “Kita minta Tan Sri Muhyiddin mengambil tindakan mahkamah terhadap penulis blog, Raja Petra Kamaruddin dan Nika Gee Siew Yee untuk membersihkan nama baik beliau.
 Setakat penafian sahaja tidak cukup sebab ini satu perkara yang amat berat dan serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azwanddin Hamzah

 Tegas Azwanddin, sebelum ini, Muhyiddin begitu lantang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan undang-undang apabila Wall Street Journal (WSJ) melempar fitnah berhubung 1Malaysia Development Berhad  (1MDB).
 “Ada peruntukan dalam undang-undang negara untuk Tan Sri Muhyiddin saman mereka berdua dan bukan hanya sekadar mengeluarkan kenyataan namun tidak mengambil tindakan.”

Monday, 13 June 2016

CHINA OVERSEAS INVESTMENT UNION ( COIU ) LANTIK JMM SEBAGAI PERUNDING DAGANGAN CHINA-MALAYSIA

Kunjungan kerja rasmi Presiden Jaringan Melayu Malaysia ( JMM ) , Azwanddin Hamzah selama 7 hari ke Beijing, China bermula 8 Jun lalu akhirnya telah memberikan kejayaan penuh bermakna untuk negara khasnya hubungan perniagaan serta ekonomi Malaysia-China.
China Overseas Investment Union ( COIU ) yang berpengkalan di Beijing melalui Presiden Eksekutifnya, Marshall Zheng Shiau telah melantik JMM sebagai satu kumpulan perunding kepada kerajaan China bagi usaha kemasukan pelabur menjalankan perniagaan di China. Ia mengambil kira kekuatan komunikasi yang telah terjalin sejak beberapa tahun lalu oleh JMM yang memudahkan segala permasalahan komunikasi antara dua negara.
COIU juga telah mengiktiraf JMM sebagai sebuah entiti yang mampu membawa masuk Syarikat Bumiputera khususnya dari Small Medium Enterprenuer ( SME ) di Malaysia untuk datang serta membuat pelaburan di China.
Presiden Eksekutif China Overseas Investment Union ( COIU ), Marshall Zheng Shuai ( kanan) bersalaman dengan Presiden Jaringan Melayu Malaysia,( JMM ) Azwanddin Hamzah (kiri) selepas pertemuan sidang perjanjian usahasama  di Beijing, China pada 11 hb Jun 2016.
Memandangkan COIU adalah penganjur Forum Ekonomi asing setiap tahun yang juga merancang serta memberi kaunseling kepada pelabur asing dari 120 negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Kanada, Australia serta Korea Selatan maka peluang yang ada ini harus digunakan sepenuhnya bagi menaiktaraf serta membina jaringan perdagangan di China.
Ianya merupakan satu lagi kerjasama ekonomi antara kedua negara iaitu Malaysia Dan China. Antara lain pertemuan perbincangan tersebut termasuklah pinjaman modal kepada pelabur, peniaga serta bantuan dana kepada usahawan yang ingin mencuba meluaskan pelaburan serta perniagaan di China. Usaha yang dilakukan oleh JMM dan COIU ini sudah pasti membuka ruang dan peluang bàru khasnya kepada dagangan ekonomi Malaysia-China.
COIU yang merupakan kesatuan yang terbesar dan berpengaruh di China telah bersetuju untuk menjalinkan  rangkaian bersama JMM yang merupakan satu Pertubuhan Bukan Kerajaan ( NGO ) yang mencetuskan hubungan ekonomi dan diplomatik ini yang mana peranan JMM juga merupakan pihak perantaraan dari segi pelaburan serta komunikasi antara kedua negara.
Negara China juga mempunyai kepentingan kerjasama dengan Malaysia, kedudukan strategik serta peluang pelaburan syarikat di Malaysia adalah yang ditunggu tunggu demia mengeratkan hubungan ekonomi secara tradisi sejak zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak lagi.

Thursday, 10 March 2016

Polis, SPRM digesa bertindak Kegiatan perjudian makin aktif di Pulau Pinang

PULAU PINANG 4 Mac - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melipat-gandakan usaha menyiasat aktiviti perjudian di negeri ini yang disifatkan semakin berleluasa.
Sambil melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan itu, Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya difahamkan ketika ini terdapat lebih 150 pusat perjudian yang beroperasi di sebalik pusat hiburan keluarga di seluruh negeri ini.
AZWANDDIN HAMZAH (tengah) keluar dari IPK Pulau Pinang selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Polis Negeri di Pulau Pinang, semalam. UTUSAN/SAZALI CHE DIN 

Lebih membimbangkan, jelas beliau, pihaknya juga difahamkan terdapat hampir 200 lagi permohonan baharu yang diterima untuk membuka pusat hiburan berkenaan.
“Jumlah pusat hiburan yang sedang beroperasi itu pun sudah terlalu banyak jika dibandingkan dengan kepadatan penduduk di negeri ini.
“Jadi, kita menggesa pihak berkuasa khususnya PDRM dan SPRM meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti perjudian ini yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab bagi membincangkan mengenai isu aktiviti perjudian itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Menurut Azwanddin, pihaknya bimbang sekiranya aktiviti perjudian itu dilindungi pihak tertentu khususnya individu di dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran lesen operasinya.
Sehubungan itu, beliau menggesa PDRM dan SPRM supaya turut melakukan siasatan di peringkat PBT bagi memastikan aktiviti perjudian yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga tersebut dapat dibanteras sepenuhnya.
Ditanya sama ada pihaknya turut cuba mendapatkan penjelasan Kerajaan DAP Pulau Pinang dan PBT mengenai isu itu, Azwanddin berkata, usaha tersebut sudah dilakukan sebelum ini, namun tiada maklum balas diterima daripada pihak berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, JMM juga akan terus melakukan pemantauan mengenai aktiviti perjudian itu di seluruh negara dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis serta SPRM supaya dapat ditangani sebaik mungkin.