Friday, 4 April 2014

Teresa terus didesak mohon maaf

OMAR SALEH
KUALA LUMPUR 23 Mac - Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok perlu bertanggungjawab terhadap penerbitan klip video ONEderfull Malaysia CNY 2014 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Januari lalu dan memohon maaf secara terbuka. Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Selangor, Omar Saleh berkata, Ahli Parlimen Seputeh itu tidak sewajarnya mengalih isu dengan menyalahkan pihak lain kerana sindiran yang ditimbulkan dalam video terbabit secara terang-terangan telah menyentuh sensitiviti masyarakat. "Beliau perlu bertanggungjawab terhadap video tersebut dan tidak harus menyalahkan pihak lain atas tindakannya sendiri. "Sebagai pemimpin, Teresa bersikap kurang ajar dan biadab tanpa mempedulikan sensitiviti masyarakat negara ini dan juga ahli keluarga yang terlibat dalam insiden Lahad Datu yang berlaku lebih setahun lalu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Setelah didesak pelbagai pihak supaya beliau memohon maaf, Teresa masih enggan berbuat demikian sebaliknya menuding jari kepada pihak lain yang dikatakannya telah memutarbelitkan kandungan dan makna klip video itu. Dalam klip video selama hampir 12 minit itu, Teresa berlakon sebagai pengacara yang menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina dan tetamu undangan tersebut mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh sebelum ini menyatakan, Teresa disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina pemimpin negara. Dalam pada itu, Omar berkata, JMM akan terus mendesak Teresa memohon maaf dan akan bertemu sendiri dengan beliau bagi tujuan itu. Jelas beliau, Teresa tidak boleh bersikap terlalu angkuh, jika tidak tindakannya itu membuktikan beliau dan seluruh kepimpinan partinya mengamalkan prinsip dan sikap sedemikian. "JMM Selangor yang juga mewakili rakyat Malaysia akan terus menjadikan ini sebagai isu yang akan kami bawa sehingga beliau memohon maaf secara terbuka. "Kami akan mengatur dalam waktu terdekat bagi bertemu beliau sendiri di Parlimen untuk terus mendesak Teresa berbuat demikian," katanya.

No comments:

Post a Comment