Monday 14 July 2014

ANALISIS-MINGGUAN APDA 13hb JULAI 2014-:-Bisik-Bisik-Awang-Selamat


Kebal...
Orang ramai lega dengan langkah pasukan polis dan PBT memperhebatkan serbuan dan merampas mesin judi haram di seluruh negara. Memang ada perubahan. Setiap hari ada sahaja premis diserbu terutama oleh pasukan D7 yang walaupun keanggotaannya terhad, dikerahkan memerangi gejala itu.
Bagaimanapun yang mengganggu fikiran Awang, masih ramai pengusaha mesin judi haram yang berdegil. Di sekitar daerah Ampang dekat ibu negara terutama berhampiran Ampang Point, beberapa premis beroperasi seperti biasa.
Banyak lagi daerah terutama di Selangor yang premis seumpama itu tidak gerun dengan pihak berkuasa. Beberapa aktivis persatuan pengguna yang menjalankan risikan mempunyai banyak cerita, dapatan dan maklumat menarik.
Berikut adalah petikan dialog yang direkodkan. "Kita tidak takut, kita sudah 'jaga mereka'. Kalau rampas mesin pun, kita buka lagi esok,'' kata seorang pengusaha.
Apa dan siapa yang dimaksudkan dengan 'jaga mereka' itu, tafsirlah sendiri. Tidak keterlaluan boleh dirumuskan mengapa banyak pengusaha mesin judi haram kebal seolah-olah mereka yang lebih berkuasa.
Dalam pada itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang aktif mengeluarkan kenyataan media berkaitan isu tersebut, menerima ugutan bunuh menerusi SMS daripada individu yang tidak dikenali.
Awang mendoakan keselamatan buat Azwan dan semua aktivis NGO yang menjalankan peranan mereka untuk membantu memerangi aktiviti tersebut. Anda semua tidak akan bersendirian, percayalah.

No comments:

Post a Comment