Monday 14 July 2014

Kita bukan main wayang key.!!!!!!!- kata KETUA POLIS NEGARA kepada JMM

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak disarankan supaya segera tampil kepada pihak polis bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mesin judi haram di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, jangan sewenang-wenangnya menuding jari terhadap polis sahaja sebaliknya kerjasama daripada semua pihak sangat perlu dalam usaha mengekang isu itu.
"Kita bukan main wayang. Tampil bagi maklumat lokasi atau bukti, bukannya mengeluarkan kenyataan tanpa menyalurkan maklumat pada kita," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada waris Allahyarham Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah hari ini yang mendesak pihak berkuasa supaya berhenti daripada 'bermain wayang' dengan niat mengaburi mata masyarakat berhubung aktiviti perjudian haram di seluruh negara sedangkan di satu lokasi di ibu negara, pusat mesin perjudian masih beroperasi dan terletak kira-kira 300 meter dari balai polis.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md. Isa ketika dihubungi hari ini berkata, kerjasama NGO juga memainkan peranan penting dalam usaha membanteras isu berkaitan mesin judi tersebut.
"Tiada istilah main 'wayang' untuk mengaburkan mata masyarakat dalam isu ini. Malahan setiap hari kita menjalankan serbuan dan operasi khas terhadap premis-premis yang menawarkan perkhidmatan haram ini.
"Jika betul beliau (Azwanddin) ada maklumat itu, sila tampil ke hadapan dan berjumpa dengan saya sendiri," katanya.
Menurut Tajuddin, dakwaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis saling menuding jari daripada berusaha mencari jalan penyelesaian berhubung aktiviti haram tersebut adalah tidak benar.
"Setakat ini, kerjasama antara polis dan PBT sangat erat. Kedua-dua pihak sering kali bekerjasama dalam menjalankan operasi secara serius bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment