Monday 14 July 2014

PBT perlu terus serius tangani mesin judi haram

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap terus mengambil perhatian serius terhadap isu mesin judi haram di kawasan masing-masing walaupun menerima pelbagai kritikan daripada masyarakat.Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sebagai kerajaan, pandangan masyarakat termasuk mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah penting walaupun 'pahit untuk ditelan'.                                   
Azwanddin
Rahman
 "Itu pandangan masyarakat. Yang penting kerajaan sentiasa prihatin terhadap apa juga pandangan masyarakat. Diharap semua PBT ambil perhatian walaupun adakalanya tuduhan tidak adil dan kadangkala tidak munasabah," katanya

ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang mendesak pihak berkuasa berhenti daripada 'bermain wayang' dengan niat mengaburi mata masyarakat berhubung aktiviti perjudian di seluruh negara.

Menurut Azwanddin, serbuan yang dilakukan pihak berkuasa sekadar berlakon bagi menunjukkan mereka bekerja keras menghapuskan kegiatan mesin judi haram di kawasan masing-masing.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tentang aktiviti perjudian di seluruh negara sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak terutama NGO yang meminta semua pihak bertindak kerana kegiatan tersebut kini pada tahap luar biasa.
Abdul Rahman berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, semua desakan, pandangan dan kenyataan daripada pihak masyarakat akan sentiasa diambil iktibar selain terus memperbaiki sistem yang ada.
"Kalau boleh, kita minta PBT serbu, denda dan tutup selain ambil tindakan sepatutnya...itu semua orang mahu. Soalnya, sama ada mereka (PBT) buat atau tidak, kalau ada bukti mereka tidak jalankan tanggungjawab maka itu sesuatu yang salah," katanya.
Beliau berkata, walaupun PBT tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya apabila kegiatan itu masih lagi didapati berleluasa, pihak berkuasa itu mahu tidak mahu perlu menerima kenyataan bahawa isu tersebut harus ditangani.

No comments:

Post a Comment