Monday 14 July 2014

JMM sedia serah memorandum -MINGGUAN MALAYSIA

AZWANDDIN Hamzah (dua dari kanan) bersama ahli JMM menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung ugutan bunuh yang diterimanya di IPD Ampang Jaya, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Julai - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan mengemukakan satu memorandum yang mengandungi segala maklumat, bukti serta gambar berhubung kegiatan mesin judi haram yang masih berleluasa di negara ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam masa terdekat. Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, maklumat itu termasuklah satu lokasi premis mesin judi haram terletak berdekatan sebuah balai polis yang dimaksudkan pihaknya sebelum ini.

Beliau berkata, pada masa sama, kira-kira 3,000 ahli JMM di seluruh negara akan digerakkan untuk mengumpul semua maklumat berkaitan isu itu bagi membantu pihak polis.
"Kita tidak mahu mana-mana pihak saling menuding jari sehingga gagal menemui noktah. Apa yang diperlukan sekarang adalah satu mekanisme baharu yang melibatkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta orang awam dalam menyalurkan maklumat pada pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan berhubung ugutan bunuh dan ancaman keselamatan terhadap ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini hari ini.
Kelmarin, Azwanddin mendesak pihak berkuasa supaya berhenti daripada ‘bermain wayang’ dengan niat mengaburi mata masyarakat berhubung aktiviti perjudian di seluruh negara, sedangkan di satu lokasi di ibu negara, pusat mesin perjudian masih beroperasi dan terletak kira-kira 300 meter dari balai polis.
Azwanddin seterusnya memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa oleh penguat kuasa ketika menjalankan tugas.
"Kita tidak mahu menuduh sebab masih tiada bukti kukuh namun yang jelas lokasi terlibat masih beroperasi seperti biasa tanpa dikenakan sebarang tindakan atau dilakukan sesuatu seperti penutupan premis.
"Adakah premis yang masih beroperasi ini dilindungi oleh mana-mana dalang sehingga masih berani menjalankan operasi. Malahan, kita tidak pernah tahu adakah pemilik premis telah didakwa atau sebaliknya selepas begitu banyak serbuan dilakukan pihak berkuasa," katanya sambil mendesak pihak berkuasa mengemukakan para pemilik premis yang bersalah.
Mengulas laporan polis hari ini, Azwanddin berkata, beliau telah menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan bunuh dan ancaman dipercayai susulan komen dan maklumat yang disalurkan pihaknya terhadap isu kegiatan mesin judi haram kebelakangan ini.
"SMS tersebut diterima pada pukul 1.16 pagi. Saya membuat laporan dan berharap pihak polis dapat memberi jaminan terhadap keselamatan saya dan keluarga.
"Ugutan ini sama sekali tidak melemahkan usaha JMM dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan-kegiatan seumpama ini, sebaliknya lebih bersemangat untuk bersama-sama dengan mereka menangani isu ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment